Memilih minyak enjin yang sesuai dapat memanjangkan jangka hayat enjin kereta anda. Ini kerana enjin pada setiap kereta mempunyai spesifikasi yang berlainan dan sudah tentunya memerlukan cara penjagaan yang berbeza.
Selain itu, pemilik kenderaan juga harus menukar minyak enjin kereta atau minyak pelincir mengikut selang masa atau jarak perjalanan yang disyorkan oleh pengeluar. Kegagalan untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan kerosakan pada enjin dalam jangka masa panjang.
Salah satu cara untuk memilih minyak enjin kereta yang sesuai adalah dengan merujuk kepada gred SAE (Society of Automotive Engineers) untuk mengetahui tahap kelikatan minyak tersebut. Ia biasanya dipaparkan dalam bentuk kod seperti 5W-50, 15W-40, 10W-30 dan sebagainya.
Cara membaca kod ini amat mudah. Sebagai contoh, ‘10W’ merujuk kepada kelikatan sesuatu minyak itu dalam suhu sejuk (winter), manakala ‘30’ pula menunjukkan kelikatan minyak itu pada suhu tinggi. Semakin kecil nombor yang terpapar, semakin rendah kelikatan sesuatu minyak itu.
Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ketika memilih minyak enjin adalah pensijilan daripada organisasi-oganisasi seperti API, ACEA, ILSAC, dan JASO. Ini adalah salah satu cara untuk memastikan bahawa minyak yang dibeli itu terjamin kualitinya.
Anda juga perlu membuat pilihan sama ada untuk mendapatkan minyak enjin jenis mineral atau sintetik. Minyak mineral diperbuat daripada bahan asas mineral dan diekstrak dari petroleum yang mempunyai molekul semula jadi. Ia dijual pada harga yang lebih murah.
Minyak sintetik pula merupakan minyak yang diperbuat daripada bahan kimia dengan bahan aditif. Kelebihan minyak sintetik adalah keupayaannya untuk beroperasi secara optimum dalam suhu yang pelbagai. Bagaimanapun, harga minyak sintetik penuh (fully synthetic) lebih mahal berbanding minyak mineral dan separa sintetik.
Jika anda masih tidak pasti, rajin-rajinlah cari info pada buku panduan atau manual pemilik yang disediakan. Cara yang terbaik adalah untuk memilih minyak enjin kereta yang disyorkan oleh pengeluar.