Nazirul Izzat juara CP150 di Kangar

1729

Pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, Nazirul Izzat Md Bahauddin menamatkan kemarau kemenangan pada musim ini apabila menjuarai perlumbaan CP150 Pusingan ke-7 kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 di Kangar hari ini.

Pelumba kelahiran Negeri Sembilan itu tampil memberi saingan di Stadium Tuanku Syed Putra apabila bermula di petak ke empat bagi memberi saingan sengit kepada pendahulu keseluruhan kelas CP150, Ahmad Afif Amran.



Pada saingan itu, Nazirul Izzat menamatkan 20 pusingan dengan masa 14:39.128 saat (s) diikuti pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Haziq Md Fairues (14:39.184s) dan rakan sepasukannya Md Akiz Aziz (14:39.371s).

Nazirul berkata, kemenangan itu begitu bermakna buat dirinya apabila hanya meraih tempat kedua dalam pusingan sebelum ini.

“Memang saya bersyukur sebab sebelum ini hanya merasa tempat kedua sahaja di Kuala Nerus, Terengganu selain pada pusingan kelayakan semalam saya menduduki tempat ketiga.

“Pasukan sememangnya mengharapkan kemenangan ini kerana rakan sepasukan, Md Muzakkir Mohamed terbabas ketika pusingan ke sembilan hari ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Sementara itu, pendahulu keseluruhan kelas CP150, Ahmad Afif Amran masih mengekalkan status pendahulu kelas selepas mengutip 107 mata diikuti Azroy Hakeem Anuar (94 mata) dan Md Akid Aziz (76 mata).

Bagi kelas CP115, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli menewaskan seteru utamanya dari PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff apabila menang dengan catatan 11:47.993s.

Ahmad Syukran yang juga pendahulu keseluruhan kelas CP115 berjaya meraih tempat ketiga pada pusingan kali ini dengan catatan masa 12:04.523s manakala tempat kedua menjadi milik Abdullah Qayyum A Razak yang juga rakan sepasukan Ahmad Syukran dengan masa 12:02.526s.

Tiga pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing mendominasi podium kategori Wira di Kangar.

Juara disandang Awal M Al Fikri Yusni dengan masa 9:39.466s diikuti Md Haziq Rosmaza dan Md Aliff Danial Md Asri dengan masing-masing mencatat masa 9:46.709s dan 9:46.763s.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here