Valtteri Bottas muncul pelumba terpantas pada sesi latihan hari ini sebelum Grand Prix Formula Satu Jepun dihentikan susulan ancaman taufan besar, berakhir 0.100 saat di depan rakan sepasukan dan pendahulu kejuaraan dunia, Lewis Hamilton.
Dua pemandu Mercedes itu yang mendapat faedah di Jepun menerusi pakej aerodinamik yang dikemas kini pada jentera W10 mereka, unggul di depan pelumba ketiga terpantas dari Red Bull, Max Verstappen pada sesi kedua di Litar Suzuka.
Sebelum sesi pertama pagi tadi, penganjur mengumumkan keseluruhan program di litar esok, termasuk kelayakan terpaksa dibatalkan kerana faktor keselamatan susulan Taufan Super Hagibis.
Sesi kelayakan dijadualkan semula pada jam 10 pagi Ahad ini dengan perlumbaan masih berlangsung jam 2.10 petang seperti jadual asal sekiranya cuaca baik.
Ketiadaan program esok menambah tarikan terhadap dua sesi latihan pertama hari ini yang menjadi persediaan kereta bagi kelayakan.
Sekiranya cuaca buruk berterusan hingga pagi Ahad dan menghalang sesi kelayakan diadakan, badan induk FIA mengesahkan catatan masa daripada latihan kedua hari ini akan digunakan untuk menentukan grid permulaan.
Ia mungkin memberikan kelebihan kepada Mercedes yang akan berada di barisan hadapan ketika mereka kelihatan mampu mengakhiri perlumbaan satu-dua sekali gus memastikan rekod kejuaraan pengeluar kali keenam berturut-turut.
Valtteri Bottas dari Finland bangkit daripada insiden berpusing di selekoh terakhir pada pertengahan sesi untuk mencatat 1 minit 27.875 saat, 0.100s di depan Hamilton di litar sejauh 5.807km itu.
Kemenangan buat Hamilton Ahad ini akan menyaksikan hanya Bottas yang ketinggalan 73 mata, mampu mengejarnya dalam kejuaraan pemandu dengan hanya berbaki empat perlumbaan selepas Jepun.
Ia juga meletakkan pemandu Britain itu di landasan terbaik bagi memenangi kejuaraan pemandu kali keenam, menyamai pencapaian Michael Schumacher, serta kejuaraan dunia ketiga berturut-turut di Mexico hujung bulan ini.