Pandu uji: Hyundai Elantra 2.0 MPI – Lebih dari sekadar rupa

2952

Sayang sebenarnya bila difikirkan bahawa Hyundai Elantra Sport 1.6L tidak lagi ditawarkan dalam barisan Hyundai kali ini untuk Elantra facelift. Kereta itu sangat mengujakan untuk dipandu dengan casis, enjin, dan transmisi mantap.

Ia sebuah model yang berbaloi untuk dilihat dan dipandu uji walaupun akhirnya anda beli Honda Civic atau Volkswagen Jetta.



Apa pun, Hyundai Elantra 2.0L Executive versi facelift ini kini satu-satunya varian yang ditawar oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) untuk bersaing dalam segmen-C. Ia berharga RM109,888 atas jalan tanpa insurans dengan jaminan 5-tahun atau 300,000km, lengkap dengan bantuan 24-jam.

Luaran

Dengan facelift ini, rupa luaran Elantra telah dirombak sepenuhnya, dengan elemen ‘segi tiga’ di merata badan. Contohnya, lampu depan projektor halogen kini berbentuk segi-tiga, hingga ke lampu kabus yang kini diletak lebih hujung ke luar bampar.

Gril “Cascading Grille” juga direka semula, sekali dengan lampu belakang. Perubahan lain adalah logo Hyundai di belakang yang kini diposisi lebih rendah dan terdapat tulisan ELANTRA di bawahnya.

Ini kemudiannya menjurus kepada nombor plat belakang yang diubah ke bampar dan diapit dengan reflektor serta lampu kabus.

Walaupun mempunyai jarak roda sama seperti sebelum ini, Elantra 2019 ini sebenarnya lebih panjang (4,620mm) dan lebar sedikit (1,800mm).

Dalaman

Untuk dalaman, perubahannya lebih kecil dengan kebanyakan aspek dikekalkan. Tetapi pemerhati teliti akan perasan kemasan perak di sepanjang papan pemuka, dengan konsol pendingin hawa baharu serta tombol gear baharu.

Elantra ini juga menerima kemasan kulit, paparan pelbagai fungsi LCD TFT 3.5-inci, dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 7-inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay.

Secara keseluruhan, ada lagi beberapa perubahan yang tidak dapat dilihat pada mata kasar. Pertamanya adalah penambahan Smart Mode pada pemilih mod pemanduan di konsol tengah. Keduanya, sedikit talaan baharu untuk karakter pengendalian.

Enjin dan prestasi

Seperti pada namanya, Elantra 2.0L Executive ini dipacu enjin 2.0-liter Nu yang menjana 152PS dan 192Nm tork. Transmisi pula ialah automatik 6-kelajuan.

Pemanduan

Pertamanya yang perlu diketahui, Hyundai Elantra ini mempunyai casis dan kerangka yang dibina dengan teknologi Advanced High Strength Steel (AHSS) yang direka untuk keselamatan serta kepuasan pemanduan.

Pada versi sebelum facelift dimana terdapat tawaran Elantra biasa berenjin 2.0 dan Elantra Sport berenjin 1.6-liter turbo, perbezaan antara dua ini lebih dari sekadar enjin dan transmisi.

Elantra 2.0 diberikan suspensi belakang jenis torsion beam manakala Elantra Sport dilengkapi setup jenis independent atau multi-link. Sudah tentu, Elantra 2.0 versi facelift ini mendapat suspensi torsion beam, namun talaan yang dibuat meningkatkan rasa dan kestabilan kereta ini.

Memandu sedikit laju di Lebuhraya Karak yang berbengkang-bengkok senang membuatkan kita membrek sedikit ke dalam selekoh. Di sinilah talaan baharu itu mula menunjukkan ‘belang’nya.

Sebagai contoh situasi, anda keluar dari selekoh kanan dan hendak memasuki selekoh ke kiri yang lebih tajam dan anda mula brek hingga ke dalam selekoh, Elantra ini dirasakan ‘mengetatkan’ pegangan badannya ke arah dalam selekoh dan bukan terasa memberat atau beroleng ke arah luar selekoh seperti yang kita jangkakan.

Penulis agak kagum apabila mula merasai apa yang diberikan oleh Elantra ini. Malah, penulis cuba lagi cara pemanduan sama di beberapa selekoh kemudian untuk memastikan apa yang dirasai.

Menariknya, cara casis dan suspensi Elantra ini bertindak hampir sama seperti torque-vectoring dalam kereta-kereta mahal dan lebih canggih, cuma pada Elantra ini terasa lebih ringkas dan kurang sofistikated.  

Penulis rasakan ini adalah hasil dari sistem brek, geometri suspensi depan dan sistem stereng elektrik bekerja bersama.

Tetapi untuk 98 atau 99 peratus dari semua masa dimana kebanyakan pemandu Elantra akan pandu kereta ini, ia sebuah kereta yang sangat mudah dan menyenangkan untuk kegunaan seharian.

Ia tidaklah begitu fokus kepada pemandu seperti Mazda3 atau Volkswagen Jetta, dan tidaklah terlalu ‘biasa’ seperti Corolla Altis (kot?), Elantra ini cantik sahaja di tengah-tengah. Ia memang kereta yang logik untuk mereka yang berkeluarga kecil; digunakan untuk menghantar anak ke sekolah, pandu ke tempat kerja dan balik kampung.

Tempat duduk depan dan belakangnya dibaluti bahan yang berkualiti, manakala lain-lain bahagian kabin Elantra ini terasa kemas dan teguh. Hampir sama seperti kualiti binaan kereta Jerman, cuma ia lebih berkontur dan beralun.

Enjin

Enjin dan transmisinya pula sangat lancar dan menyeronokkan untuk diguna. Ia tidak semantap DCT 7-kelajuan pada Elantra Sport, tetapi unit 6-kelajuan ini adalah antara yang paling memuaskan dalam kelasnya.

Selain dari mod Eco, Normal dan Sport sedia ada, ia kini didatangkan dengan mod Smart. Apa yang mod ini lakukan ialah ia akan menukar sendiri kepada mod Eco, Normal atau Sport bergantung kepada input atau cara pemanduan anda.

Mod Smart ini agak responsif, tetapi anda perlu agak agresif pada pedal minyak untuk membuatkannya masuk ke mod Sport. Untuk penulis, lebih gemar memilih sendiri mod yang dimahukan secara manual. Apa pun, ia satu penambahan menarik pada kelengkapan kereta ini.

Kata akhir

Sebenarnya tiada faktor ‘wow’ pada Hyundai Elantra ini, dan hampir tiada kekurangan ketara juga. Jika harus dipilih perkara tidak suka padanya, mungkin butang di sekeliling tombol gear. Ada enam semuanya, tetapi hanya satu butang yang berfungsi, iaitu Drive Mode. Seolah-olah kereta tidak cukup spec.

Lain-lain, penulis sukakan Elantra ini sebagai sebuah kereta praktikal harian dan hujung minggu. Elantra sebenarnya berhak mendapat lebih banyak perhatian dan wajar dipandu uji jika anda sedang mencari-car sedan dalam segmen-C ini.

 

Spesifikasi Hyundai Elantra 2.0 MPI

Harga: RM109,888
Enjin: 1,999cc, DOHC dengan VVT
Kuasa maksima: 152hp @ 6,200 rpm
Tork maksima: 192Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: Automatik 6-kelajuan
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), tubular beam (belakang)
Berat: 1,280 kg
Sistem keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, ESC, Hill-Start Assist, Downhill Brake Control, Brake Assist System dan Vehicle Stability Management.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here