Selepas pelancaran Renault Megane RS 280 Cup serba baharu di Malaysia beberapa bulan lepas, kini kembalinya acara Renault Sport Track Day ke Litar Antarabangsa Sepang. Kali ini, acara itu dibuat di sesi malam.
Serentak dengan track day itu, TC Euro Cars juga membuat ujian masa Megane RS 280 Cup di awal acara. Kereta baharu ini mempunyai kuasa 280PS, tork 390Nm dan sistem 4CONTROL, jadi sudah dapat dijangka bahawa ia akan memperoleh catatan masa lebih baik dari Megane RS sebelum ini.
Renault Megane RS 280 Cup versi EDC (transmisi dwi-klac) itu berjaya mencatat masa 2:38, iaitu tiga saat lebih baik dari 2:41 yang direkodkan oleh Megane RS 265 Cup. Megane RS 280 Cup itu dilengkapkan dengan tayar Yokohama AD08R bersaiz 245/35/19 dari penaja tayar rasmi acara itu.
Untuk edisi kali ini, seramai 30 pemilik Renault RS turun menyertai acara itu untuk menguji prestasi mereka dan jentera masing-masing di litar.
Antara jentera yang hadir adalah Megane RS, Clio RS dan Megane RS 275 Trophy-R edisi terhad.
Seperti biasa, keselamatan menjadi keutamaan oleh TC Euro Cars dan Renault. Hanya pemandu berpengalaman dibenarkan memandu bersendirian di litar manakala pemandu kali pertama akan ditemani oleh instruktor profesional.
Sementara itu, taxi ride juga disediakan bagi pemilik-pemilik ini merasai keupayaan dan prestasi Megane RS 280 Cup baharu yang dipandu oleh pemandu profesional.
Jentera ini dilancarkan di Malaysia beberapa bulan lepas dan ditawarkan dengan casis Cup sebagai standard. Ia dijual pada RM279,888 untuk manual 6-kelajuan dan RM299,888 untuk EDC automatik.
Hatchback sports ini dikuasakan oleh enjin 1.8-liter turbo 4-silinder baharu yang dipadankan dengan LSD Torsen baharu. Di setiap bucu juga dilengkapi suspensi hydraulic compression stops yang diinspirasi dari dunia rali. Ia bertujuan memberikan sensasi pemanduan tanpa kompromi untuk keselesaan.
Dengan 4CONTROl juga, Renault Megane RS 280 Cup ini satu-satunya kereta dalam segmennya yang dilengkapi sistem stereng empat-roda.