Pelumba Perancis, Johann Zarco akan menggantikan Takaaki Nakagami di LCR Honda untuk tiga perlumbaan terakhir musim MotoGP selepas pelumba Jepun itu disahkan akan menjalani pembedahan bahu, menurut jurucakap pasukan itu.
Nakagami, 27, akan menjalani pembedahan selepas perlumbaan di laman sendiri di Motegi, minggu ini.
Sebelum ini Zarco digugurkan Red Bull KTM Factory selepas aksi pusingan ke-13 di GP Misano berikut kemelut yang melanda antara beliau dan pasukan pengilang dari Austria itu.
“Saya amat berterima kasih di atas peluang ini, dan saya akan melakukan yang terbaik untuk mempamerkan prestasi terbaik dan berseronok dengan masa, kerana ini mungkin perlumbaan yang dapat saya lakukan buat masa ini,” kata Johann Zarco dalam kenyataan di keluarkan pasukan itu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada KTM kerana melepaskan saya untuk berlumba dengan motosikal lain. Mari kita lihat apa yang saya mampu lakukan”.
Zarco akan mula mengemudi jentera Honda RC 213V itu bermula dengan perlumbaan di Phillip Island, Sepang dan Valencia.
Prinsipal pasukan LCR Honda, Lucio Cecchinello dalam satu kenyataan memberitahu ideanya untuk menggantikan Zarco dengan Nakagami itu turut dipersutujui oleh pengurus pasukan, Alberto Puig dan pengarah HRC, Tetsuhiro Kuwata.
Zarco juara Moto2 dua kali dan dinobatkan pelumba baharu MotoGP tahunan pada 2017 akan bergandingan dengan pelumba Britain, Cal Crutchlow.
Nakagami sudah mengesahkan akan menyertai Lucio Cecchinello bagi tahun 2020 sementara Zarco masih mengintai peluang untuk berlumba pada musim depan.