Kereta terbang kedua negara menggunakan teknologi berbeza dari kereta terbang pertama akan membuat penerbangan sulungnya pada suku ketiga tahun depan, kata Menteri Pembangunan Keusahawanan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Menurutnya, kereta itu kini sedang dibangunkan di Eropah dan perbincangan dengan pembangun telah dilakukan sama ada untuk menerbangkannya untuk penerbangan sulung tahun depan.
“Versi kedua ini menggunakan teknologi baharu dan kami sedang membincangkan sama ada boleh atau tidak, dan jika ada minat di negara ini, akan kita lakukan penerbangan sulung menjelang suku ketiga tahun depan,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Semasa pameran LIMA di Langkawi awal tahun ini, menteri itu mempamerkan prototaip kenderaan terbang yang dinamakan “Vector”.
Menurut pembangunnya, Aerodyne, Vector bukanlah sebuah kereta terbang seperti yang dinantikan, tetapi lebih kepada sistem pengangkutan dari poin A ke poin B.