Pelumba Moto2 PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin harap cuaca baik pada perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun esok selepas menyertai sesi kelayakan yang berlangsung dalam keadaan hujan hari ini.
Adam dijadual memulakan perlumbaan 22 pusingan itu daripada petak ke-31 selepas melakukan catatan terbaiknya dalam sesi kelayakan di Litar Twin Ring Motegi 2 minit 07.613 saat tatkala Luca Marini daripada pasukan KY Racing Team VR46, menyambar petak utama.
“Untuk perlumbaan esok, kemungkinan berlangsung dalam keadaan litar kering. Satu perkara yang positif kerana semalam saya mempunyai perasaan yang lebih baik dalam keadaan litar kering.
“Saya akan cuba yang terbaik dalam perlumbaan untuk merapatkan jurang berbanding keputusan di Thailand sebelum ini,” kata Adam yang menggantikan pelumba asal pasukan, Khairul Idham Pawi yang masih dalam proses pemulihan daripada pembedahan kedua jari kelingkingnya.
Pelumba berusia 21 tahun dikenali sebagai Torete itu berpengalaman tiga musim dalam saingan Moto3 dan menggantikan slot Khairul Idham bermula di GP San Marino.
Mengulas lanjut mengenai pengalaman pertamanya menunggang motosikal Moto2 dalam keadaan litar basah, Adam Norrodin harap cuaca baik memihak kepadanya dan berkata: “Tidak sama seperti Moto3. Keputusan saya dalam hujan agak baik di Moto3 dan ia sama sekali berbeza kali ini.
“Saya masih perlu memahami bagaimana untuk menunggang motosikal ini dalam hujan. Saya keluar (ke trek) dengan gaya tunggangan Moto3 tetapi ia sama sekali berbeza dan perlu menukar kesemuanya termasuk corak tunggangan.”
Sementara itu dalam kelas Moto2, John McPhee dan Ayumu Sasaki masing-masing bakal memulakan perlumbaan daripada petak ke-11 dan ke-16. Namun kedua-duanya sudah bersedia untuk mengharungi perlumbaan diramalkan berlangsung dalam keadaan litar kering.