Dua pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing menamatkan perlumbaan dan berjaya kutip mata di GP Jepun walaupun telah mengharungi perlumbaan yang sukar. Manakala wakil pasukan dalam kelas Moto2, Adam Norrodin meraih kedudukan terbaiknya selepas menggantikan Khairul Idham Pawi di GP San Marino, bulan lalu.
Wakil kelas Moto3, John McPhee menamatkan 20 pusingan perlumbaan di Litar Twin Ring Motegi di tempat keenam dengan catatan 39 minit 38.514 saat manakala rakan sepasukannya yang beraksi di laman sendiri, Ayumu Sasaki di tempat ke-13 (39’48.174s).
Mengulas mengenai perlumbaan hari ini, Sasaki yang berada di tangga ke-20 keseluruhan dengan 53 mata berkata, keadaan hujan pada sesi latihan bebas ketiga dan juga kelayakan sedikit merencatkan usaha kru pasukan dalam menyediakan pelarasan terbaik untuk beraksi dan kutip mata di GP Jepun.
“Kami sedikit tercicir pada Sabtu kerana hujan dan ia memberi makna pelarasan kami untuk keadaan kering hari ini tidak begitu baik. Saya tidak mampu untuk memecut seperti dimahukan dalam perlumbaan.
“Kami melakukan sedikit perubahan selepas sesi pemanas badan untuk meningkatkan kemampuan motosikal, tetapi ia tidak berhasil seperti diharapkan dan saya tidak boleh memberi saingan yang secukupnya dalam perlumbaan.
“Saya melakukan permulaan baik tetapi saya terbabas sedikit dan perlu berusaha lebih gigih untuk mengekalkan rentak kelajuan dan juga posisi. Beberapa baki pusingan terakhir begitu sengit dalam kelompok 10 terbaik, tetapi saya melakukan sedikit kesilapan yang meletakkan saya di belakang.
“Mengambil kira pelarasan motosikal tidak begitu sempurna kami boleh mengambil positif dengan keputusan ini dan cuba meletakkan sasaran lebih baik di Australia nanti,” kata Sasaki.
Sementara itu, Adam Norrodin meraih penamat terbaiknya dengan berada di tempat ke-22 dengan catatan keseluruhan 41’56.738s – menamatkan perlumbaan untuk kali kedua selepas di GP Thailand, 6 Oktober lalu.