Toyota C-HR GR Sport dengan manual 6-kelajuan, boleh laku di Malaysia?

3969

Toyota telah mengemaskini crossover Toyota C-HR GR Sport mereka untuk pasaran global, termasuk Jepun. Namun, macam biasa, pasti ada sesuatu jajan yang lebih menarik untuk pasaran domestik mereka.

Ya, Toyota C-HR untuk Jepun mendapat versi GR Sport yang ditala oleh divisyen sukan permotoran Toyota sendiri, iaitu Toyota Gazoo Racing. Ia bukan sekadar kosmetik, tetapi merangkumi bahagian casis yang akan memberikan pemanduan lebih menyeronokkan.



Bampar depan yang baru kini diberikan gril bawah lebih besar dengan bar melintang, under guard dan perumah lampu kabus besar. Terdapat juga lencana-lencana GR Sport di merata badan, termasuk gril, fender depan dan pintu belakang (but).

Melengkapkan gaya luaran adalah rim aloi dwi-tona 19-inci dan tayar 225/45. 11 warna badan ditawarkan untuk C-HR 2020, termasuklah 5 warna dwi-tona dengan bumbung dan tiang-A dicat hitam.

Di bahagian dalam, crossover GR Sport ini boleh dibezakan dengan roda stereng sports bersalut kulit dengan jahitan perak dan logo GR, tempat duduk sports dengan logo GR dan jahitan perak berganda, kemasan trim metalik perak gelap, dan pedal aluminium.

Selain kosmetik, bahagian casis C-HR juga menerima beberapa penambahbaikan. Antaranya adalah brace di bawah lantai untuk badan lebih teguh, serta respon stereng lebih baik. Komponen suspensi juga ditala semula (spring gegelung, penyerap hentak dan penstabil).

Sama seperti model pasaran Eropah dan Amerika Utara, C-HR untuk Jepun dikuasakan oleh enjin 1.2-liter turbo yang menghantar kuasa ke roda depan. Enjin ini dipadankan dengan transmisi iMT (intelligent manual transmission) 6-kelajuan dengan fungsi rev-matching.

Kereta ini telah mula dijual di Jepun dengan harga 2,367,000 yen (RM91,132) untuk model asas, dan model GR Sport pula bermula pada 2,732,000 yen (RM105,185).

Dapatkah kita melihat model C-HR GR Sport di sini? Malaysia kini merupakan satu-satunya negara di luar Jepun (buat masa ini) yang mempunyai GR Garage, iaitu kedai berkonsepkan perlumbaan.

Dan produk utama di GR Garage buat masa ini hanyalah Toyota GR Supra. Baru-baru ini, Toyota juga mengeluarkan versi mereka sendiri untuk Daihatsu Copen, iaitu Toyota Copen GR Sport.

Takkanlah hanya Supra di GR Garage Malaysia, kan? Antara C-HR dan Copen, rasanya yang mana akan jadi model seterusnya dibawa masuk?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here