Semua orang suka membeli-belah dan kini semua pernah membeli-belah melalui platform online (dalam talian). Dan untuk itu, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) – pengedar tunggal Ford di Malaysia – hari ini melancarkan Ford Ranger Splash Edisi Terhad.
Model ini diperkenalkan bersempena dengan karnival jualan Lazada 11.11 dan hanya boleh didapati melalui laman jualan itu. Ia juga trak pikap pertama di negara ini yang dijual melalui platform jual-beli digital.
Ford Ranger Splash ini diasaskan dari variant XLT+. Unik kepadanya adalah penggayaan serba-serbi berwarna hitam legap (matte black) untuk kangaroo bar, gril depan, penutup cermin sisi, bampar belakang, sports bar, rim aloi dan lengkung fender.
Melengkapkan gaya uniknya ialah pelekat badan Ranger Splash berwarna fluorescent. Di bahagian dalam, ia mendapat pembaca tol binaan dalam, kamera sekeliling 360-darjah.
Berminat? Ford Ranger Splash ini hanya akan dipamerkan di bilik pameran SDAC Ford Petaling Jaya 2. Ia dijual pada RM138,888 dan 19 unit ditawarkan, jadi anda harus cepat membuat tempahan.
Untuk membuat tempahan, pelanggan perlulah menggunakan fungsi Chup Dulu di Lazada dan membayar wang tempahan sebanyak 1% dari harga, iaitu RM1,389.
Mulai 28 Oktober hingga 10 November, pelanggan hanya perlu membayar 10% dari wang tempahan iaitu RM139 melalui Lazada. Kemudian check-out dan bayar baki bayaran RM1,250 pada hari promosi 11.11 (11 November).
Jika pelanggan itu berjaya, mereka akan dihubungi oleh wakil Ford untuk menyempurnakan pembelian mereka. 11 pelanggan pertama pula akan mendapat Petronas Gift Card bernilai RM500.
Ford Ranger Splash ini dikuasakan oleh enjin 2.0-liter Single-Turbo baharu yang digandingkan dengan transmisi baharu Ford automatik 10-kelajuan. Enjin itu mampu menjana 180PS dan 420Nm tork.
Trak ini turut mendapat unit hiburan SYNC3 yang menyokong Apple CarPlay, Android Auto, dan Bluetooth.
Ford Ranger didatangkan dengan jaminan 100,000km atau 3 tahun (yang mana dahulu), serta penyelenggaraan percuma 5 tahun atau 100,000km (yang mana dahulu).