Hafizh Syahrin sangat teruja bersaing di laman sendiri dan mahu menikmati perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia hujung minggu ini meskipun mengakui cabaran kali ini lebih berliku berbanding penampilan sulungnya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam kelas perdana, MotoGP, tahun lalu.
Pelumba Red Bull KTM Tech3 yang dijadual kembali beraksi dalam kelas pertengahan Moto2 musim depan berkata, pusingan kedua terakhir musim 2019 di Sepang ini sentiasa menjadi ‘istimewa’ baginya berikutan kehadiran ahli keluarga dan peminat tempatan, bakal menaikkan lagi motivasinya.
“Saya sangat gembira untuk tiba di GP laman sendiri. Minggu yang istimewa dan saya akan melakukan yang terbaik. Kami sedar yang kami bergelut tahun ini dan Sepang adalah perlumbaan GP kedua terakhir sebelum saya kembali menyertai Moto2.
“Bukan sesuatu yang mudah tetapi saya akan memberikan segala-galanya, sama seperti tahun lalu,” kata Hafizh yang menamatkan perlumbaan di Sepang tahun lalu di tempat ke-10 – pada musim terakhir pasukan menggunakan jentera Yamaha.
Ketika ini, Hafizh sudah mengumpul lapan mata untuk berada di tangga ke-23 keseluruhan dengan penamat terbaiknya di GP Britain – menemui garisan penamat di tempat ke-13 untuk meraih tiga mata.
Pada perlumbaan di GP Australia minggu lalu, Hafizh mampu berada dalam kelompok pungutan mata – menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 sekali gus memberikannya motivasi berharga menjelang saingan di Sepang.
“Saya mahu melakukan ini untuk peminat, keluarga dan juga pasukan. Mereka sentiasa memberikan sokongan dan percaya kepada diri saya. Kita lihat apakah yang mampu dilakukan nantu, saya hanya mahu menikmati tunggangan di sana (Sepang).
“Sesuatu (keputusan) yang baik di Australia, dan kami dapat belajar yang kami perlu lebih baik pada awal perlumbaan” katanya. Hafizh Syahrin teruja bersaing di laman sendiri berusaha mengekalkan motivasi yang tinggi dan tidak sabar untuk menikmati perlumbaan hujung minggu ini.