Honda EX-5 lejen bantu cikgu ini ke sekolahnya setiap hari

2266

Seawal 6.45 pagi, Syafeza Sauli menunggang motosikal Honda EX-5 menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Dala, Gerik, Perak untuk mengajar murid di sekolah berkenaan.

Perjalanan ditempuhi guru berusia 26 tahun itu setiap hari agak berliku kerana perlu melalui jalan tanah merah membabitkan jarak sejauh 44 kilometer dari rumahnya di pekan Gerik.



Begitulah rutin dilalui Syafeza sejak ditugaskan mengajar di sekolah berkenaan bermula Februari lalu dan kegigihan guru muda itu mendapat pujian selepas gambarnya yang terjatuh motosikal ketika melalui jalan berlumpur tular di laman sosial.

Berkongsi pengalamannya, Syafeza berkata, gambar dan video berkenaan diambil rakannya untuk tujuan dokumentasi dan insiden berkenaan dirakam secara spontan.

“Memang begitulah rutin dilalui sejak mengajar di sini dan permukaan jalan tidak rata menyebabkan saya tiada pilihan kecuali ke sekolah dengan menunggang motosikal.

“Ikutkan, saya tidak tahu langsung menunggang motosikal, tetapi mengambil inisiatif untuk belajar memandangkan laluan untuk ke sekolah tidak sesuai dilalui kereta melainkan kenderaan pacuan empat roda.

“Laluan berkenaan sunyi dan disebabkan itu, saya perlu mengatur perjalanan dengan bertolak awal selain memakai pakaian bersesuaian demi keselamatan diri.

“Pernah saya tersesat dan lebih enam kali terjatuh motosikal ketika dalam perjalanan ke sekolah walaupun sudah berhati-hati.

Meskipun begitu, Syafeza gembira kerana dapat menimba pengalaman itu dan rasa bertuah kerana dihantar bertugas di kawasan pedalaman. Malah, beliau sudah bersiap sedia dengan kemungkinan itu sejak awal lagi kerana menyedari cabaran perlu dihadapi mereka yang bergelar pendidik.

“Bagi saya, pengalaman sebagai guru amat menyeronokkan lebih-lebih lagi kerana berpeluang mengajar murid Orang Asli yang tinggi budi bahasanya.

“Selagi termampu, saya akan galas tanggungjawab ini dengan sebaiknya walaupun ada segelintir pihak pernah beranggapan saya tidak akan bertahan lama mengajar di kawasan pedalaman kerana cabaran berkenaan,” katanya.

Terbaik cikgu Syafeza, semoga terus kuat mendidik anak muridnya! Dan semoga motosikal Honda EX-5 itu pun dapat terus berkhidmat!

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here