Dengan komitmennya ke arah United Nation Sustainable Development Goal, Sunway baru-baru ini mengadakan pratonton media untuk Sunway Smart Parking, sistem tiket parkir Sunway Pyramid dengan pengecaman nombor pendaftaran.
Ia boleh dioperasikan dengan pelbagai pilihan bayaran e-wallet. Ini termasuklah GrabPay, Boost, Wechat Pay, Alipay, Touch N’ Go Digital dan Maybank QR. Sistem tiket parkir sunway pyramid juga menyokong sistem pembayaran MasterCard, Visa, American Express, JCB, UnionPay dan MyDebit.
Sistem parkir tanpa tunai dan tanpa tiket ini adalah sebahagian dari pendigitalan Sunway dan ini bermakna tidak perlu lagi menurunkan tingkap dan memanjangkan lengan anda untuk mengambil tiket.
CEO Sunway Malls & Theme Park, HC Chan berkata, “Dengan teknologi canggih, kami mahu terus memperkenalkan pengalaman beli-belah yang mudah dan mengujakan untuk pengunjung.”
Sunway Smart Parking akan mula diperkenalkan di Sunway City, yang meliputi Sunway Pyramid, Sunway Hotels dan Menara Sunway.
Buat masa ini, sistem itu online untuk pengguna parkir season tetapi ia akan sedia untuk digunakan orang awam pada suku pertama 2020.
Sunway Smart Parking memerlukan pemandu untuk mendaftar nombor plat kenderaan mereka melalui portal Sunway Parking.
Setelah berdaftar, mereka hanya perlu memastikan nombor plat kereta mereka dilampirkan kepada sistem e-wallet untuk membuat bayaran. Ia akan membolehkan mereka masuk dan keluar dari kawasan Sunway tanpa sebarang kesulitan.
Apabila pemandu berdaftar memasuki kawasan Sunway, nombor plat mereka akan diimbas oleh sistem pengecaman nombor plat untuk pengenalan sebelum palang dibuka secara automatik.
Untuk mereka yang tiada sebarang e-wallet atau tidak mempunyai akses internet, anda masih boleh membayar menggunakan kad Touch N’ Go atau melalui sistem pembayaran automatik.
Sunway turut mengumumkan bahawa pengunjung yang mendaftar kenderaan mereka dalam tempoh pra-pendaftaran ini akan menikmati parkir percuma sekali (1 kali) apabila ia mula dibuka untuk orang awam nanti.