Selepas tamat edisi MotoGP di litar sepang, linangan air mata Hafizh Syahrin gugur kerana dia akui perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia tahun ini meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya.
Selepas dua musim beraksi di kelas elit itu, pelumba pasukan Red Bull KTM Tech3 itu dijadual kembali beraksi dalam kelas pertengahan Moto2 tahun depan dan dia mengakhiri saingan di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini di kedudukan ke-16.
“Perlumbaan tadi walaupun kurang baik tapi saya bersyukur, Alhamdulillah dapat menamatkan saingan di tempat ke-16 dan menghabiskan perlumbaan dengan cukup baik berbanding sebelum ini.
“Tapi saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang datang memberikan sokongan serta mengharapkan keputusan terbaik.
“Apa pun saya berharap tahun depan saya dapat melakukan yang terbaik dalam Moto2, dan agak sedih apabila meninggalkan perlumbaan kelas MotoGP. Kalau jentera saya lebih bagus, Insya-Allah lebih senang untuk cipta keputusan tapi tiada apa-apa perubahan dari jentera walaupun mekanik bertungkus lumus membantu saya,” katanya sejurus selepas tamat perlumbaan dan menyebabkan linangan air mata Hafizh Syahrin gugur.
Begitupun, Hafizh dalam masa sama menegaskan dia tidak berputus asa meskipun ‘diturunkan pangkat’ pada 2020, malah bertekad mahu kembali ke kelas perdana berkenaan menjelang perlumbaan musim 2021.
“Ini perlumbaan terakhir rakyat Malaysia melihat saya beraksi dalam MotoGP. Insya-Allah kalau ada rezeki mungkin saya akan kembali dalam MotoGP pada 2021.
Tapi saya kena berikan saingan terbaik untuk 2020,” kata Hafizh yang mengakui merindui saat ketika menamatkan saingaan MotoGP dalam kelompok 10 terbaik di Sepang.
Penunggang jentera bernombor 55 itu turut menghargai peluang diberikan pasukannya untuk beraksi dalam kelas utama permotoran serta dapat bersaing bersama jagoan dari seluruh dunia, selain memohon maaf jika terdapat salah dan silap.