Selepas bertahun-tahun ujian, syarikat hypercar elektrik Jepun, Aspark, telah mendedahkan spesifikasi menakjubkan untuk hypercar elektrik yang dinamakan Aspark Owl. Sila hadam ini: 1,984hp, 2,000Nm tork dan dakwaan masa pecutan 0-100km/j 1.7 saat!
Hypercar yang hampir sedia untuk produksi itu ialah model pertama yang Aspark janjikan dari barisan hypercar jutaan ringgit.
Sumber dari kuasa gila tadi ialah empat motor elektrik yang dikatakan membentuk satu sistem torque-vectoring unik. Ia dikuasakan oleh pek bateri lithium-ion 64.0kWh yang Aspark katakana mampu mencapai jarak perjalanan 450km.
Kelajuan maksima pula ialah 400km/j dan bateri lithium-ion itu mampu dicaj dalam 80 minit, walaupun Aspark berkata mereka mahu jadikannya lebih cekap di masa akan datang.
Beratnya sekitar 1,900kg; monocoque karbon hanya seberat 120kg dan bahagian lain kenderaan itu dibuat dari gentian karbon ringan. Cermin sisinya mempunyai kamera.
Untuk mencapai prestasi tertinggi, cermin tepi direka sangat licin, dan spoiler belakang aktif dinaikkan sepenuhnya pada 150km/j untuk lebih downforce.
Owl menampilkan suspensi hidraulik dengan ketinggian boleh dilaras dari 80 hingga 100mm. Ia dilengkapi brek karbon-seramik dengan 10-piston di depan dan 4-piston di belakang. Pelanggan boleh memilih pilihan tayar Michelin Pilot Super Sport Cup 2 atau Pirelli P Zero, dua-dua adalah tayar semi-slick.
Produksi akan dihadkan kepada 50 unit sahaja seluruh dunia, dan Aspark sedang mengambil tempahan Owl dengan harga permulaan sekitar RM13.29 juta. Owl juga boleh dibina khas mengikut citarasa pelanggan, dan penyerahan akan mula dibuat pertengahan tahun depan.