Selain sukan permotoran drag, drifting, time attack, sukan gymkhana juga semakin mendapat tempat di kalangan peminat dan penggiat sukan permotoran tanah air.
Unik mengenai gymkhana ialah kuasa jentera semata-mata tidak menjamin kemenangan seseorang peserta. Tetapi, aspek lain seperti keseimbangan casis kenderaan, cengkaman tayar dan ketangkasan pemandu itu sendiri mengemudi kenderaan menjadi penentu.
Jadi, tidak hairanlah jika anda melihat kenderaan dengan pelbagai tahap kuasa seperti Perodua Kelisa, Nissan Sunny, Mazda MX-5 dan Subaru Impreza merekodkan catatan masa yang sengit antara satu sama lain.
Northern Gymkhana 2019 merupakan pusingan terakhir untuk tahun ini dimana ia diadakan di Tapak Pesta Pulau Pinang pada 10 November lepas.
Acara ini merupakan anjuran Q Smart Event Management bersama Suci Muci Motorsport. Seramai 22 orang peserta telah mendaftar mengikut kategori masing-masing, iaitu Newbie, Front Wheel Drive, Rear Wheel Drive, Open dan satu lagi kategori khas, Knock Out.
Acara bermula seawal 9 pagi, dan keadaan permukaan basah dilihat sedikit mengganggu fokus peserta. Mereka dilihat mengambil pendekatan berjaga-jaga demin mengelakkan melakukan kesilapan yang boleh memakan catatan masa.
Di belah tengahari apabila matahari mula beranjak ke atas kepala, permukaan mula kering dan semakin panas, memberikan situasi optimum untuk semua peserta dan jentera masing-masing.
Tumpuan juga diberikan kepada kategori Newbie kerana ia sesuai untuk melihat potensi dan bakat terpendam peserta-peserta yang mungkin boleh diasah menjadi jauh lebih baik.
Penutup
Acara berakhir sekitar jam 6:30 petang dengan sesi penyampaian hadiah dan sijil kepada semua peserta.
Penganjur Northern Gymkhana 2019 mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat. Penghargaan juga diberikan kepada barisan penaja Tom’s Stickers Penang, Syarikat Jaya Ganesh Kulim, dan Cash Oil.
Pusingan seterusnya Northern Gymkhana bakal diadakan pada Februari 2020 dan dijangka lebih banyak penyertaan. Yang penting, semua peserta gembira dapat mengasah bakat, mempelajari teknik baharu dan mendapat kenalan baharu di acara sebegini.
Teks: Raziman Sipico
Gambar: Alif Media Q Smart Event Managment