McLaren 600LT yang ditala oleh Novitec diperkenalkan

2236

Nama Novitec mungkin lebih kerap dikaitkan dengan Ferrari, namun syarikat talaan terkenal dari Jerman itu juga ternyata mempunyai kepakaran untuk menala kenderaan jenama lain seperti McLaren.

Terbaru, McLaren 600LT Novitec telah diperkenalkan dan ia merupakan pakej naik taraf untuk model ‘Longtail’ 600LT yang merangkumi talaan enjin dan juga kit badan aerodinamik.



Untuk enjinnya sahaja, Novitec mengumumkan bukan satu, bukan dua tetapi tiga pakej talaan yang menawarkan peningkatan kuasa yang boleh dicapai dengan hanya menekan satu butang.

Pakej talaan paling berkuasa dikenali sebagai Performance Stage 2. Ia merangkumi naik taraf elektronik, pemetaan enjin serta sistem ekzos berprestasi tinggi yang diperbuat daripada keluli tahan karat.

Dengan pakej ini, enjin twin-turbo 3.8-liter V8 600LT berupaya menghamburkan kuasa sehingga 688hp pada 7,450rpm dan 712Nm pada 6,250rpm. Ianya merupakan satu peningkatan sebanyak 88hp dan 92Nm berbanding versi standard.

Ini sekaligus membolehkan supercar itu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 2.8 saat. Jentera ini mampu mencapai kelajuan maksimum yang mengagumkan iaitu 333km/j.

Selain itu, McLaren 600LT Novitec turut menawarkan sistem suspensi sport yang mengurangkan ketinggian jentera tersebut sebanyak 30mm. Rim keluaran Vossen berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang juga boleh dipilih dengan 77 pilihan kemasan dan cat berbeza.

Dari segi penampilan, pilihan naik taraf yang ditawarkan tidak terlalu menonjol. Bahagian hadapan menampilkan rekaan hud yang lebih agresif. Di bahagian belakang pula terdapat kotak udara gentian karbon yang direka untuk menyalurkan lebih banyak udara kepada enjin.

Untuk bahagian dalaman pula, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai pilihan kemasan Alcantara dan kulit.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here