Pesaing terbaharu dalam liga hot hatch di Malaysia, Hyundai i30 N kini telah tiba. Menjadi lawan kepada Honda Civic Type-R, Volkswagen Golf GTi dan Renault Megane RS 280 Cup, pesaing dari Korea ini mempunyai segala apa yang diperlukan untuk menjadi hot hatch sebenar.
Terdapat dua varian i30 N, iaitu varian N biasa dengan 250PS dan 353Nm tork, dan N Performance dengan 275PS dan 353Nm tork. Di Malaysia, kita mendapat versi lebih berkuasa iaitu N Performance.
Kuasa dari enjin 2.0-liter T-GDI turbo dihantar ke roda depan melalui transmisi manual 6-kelajuan dengan fungsi rev-matching. Dan ya, hanya manual, tiada pilihan automatik.
Unik kepada i30 N Performance ini juga adalah rim aloi 19-inci, caliper brek merah dengan logo N, tempat duduk pemandu dan penumpang depan dengan pelarasan berkuasa, serta kemasan tempat duduk suede dan kulit.
Bagi mengawal semua kuasa mengikut mood pemandu dan kesesuaian pemanduan, i30 N dilengkapi dengan 5 mod pemanduan; Eco, Normal, Sport, N dan N Custom. Dengan ini, ia akan mengubah parameter seperti respon enjin, penyerap hentak, ESC, LSD elektronik, bunyi, stereng dan rev-matching.
Untuk lebih pemanduan mengujakan, fungsi over-boost meningkatkan tork sebanyak 8% dan pecutan sehingga 7%. Ini disokong oleh sistem ekzos dual-muffler yang memberikan bunyi sporti.
Pemandu boleh melihat segala prestasi kereta ini secara live di papan pemuka tengah seperti kelajuan dan meter tekanan-G.
Kerangka badan i30 N direka dengan keteguhan tinggi dengan bar pengeras di belakang tempat duduk belakang. Sistem brek pula direka dengan lebih penyejukan melalui ruang kemasukan udara di bampar depan.
Hyundai i30 N ini hadir dengan satu warna sahaja, iaitu Performance Blue. Warna ini adalah inspirasi dari Hyundai Motorsports WRC dan TCR.
Harganya? RM298,888 di Malaysia, lengkap dengan jaminan lima tahun atau 300,000km (yang mana dahulu).
Hanya 20 unit dibawa ke sini, dan jika anda berminat, hanya oleh buat tempahan di Lazada Malaysia semasa jualan 12.12 nanti. Bermula 2 Disember, ia boleh mula ditempah melalui fungsi Chup Dulu di platform jual-beli itu.
Hyundai i30 N ini sudah boleh mula dilihat dengan lebih dekat, anda hanya perlu berkunjung ke Sime Darby Auto Hyundai Old Klang Road, Kuala Lumpur. Untuk maklumat lanjut, hubungi 1-300-13-2000.