Nombor pendaftaran siri NDN yang dibuka untuk pembidaan melalui sistem JPJeBid selama lima hari bermula 28 November lalu, mencatatkan kutipan hasil tertinggi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan, berkata nombor pendaftaran itu menarik minat 860 pembida dengan hanya 398 berjaya memperolehinya.
Katanya, kutipan hasil pembidaan bagi siri nombor pendaftaran itu mencapai lebih RM1.2 juta, mengatasi rekod RM825,683 yang diraih pada 2017 menerusi pembidaan nombor pendaftaran NDH.
“Harga bidaan tertinggi dicatatkan berjumlah RM136,000 untuk NDN 1 merangkumi lapan pembida diikuti NDN 9 dengan RM81,000.
“Hasil kutipan bidaan keseluruhan berjumlah RM1.21 juta. Ini menunjukkan peningkatan 56.38 peratus berbanding RM776,851 yang diraih pada tahun lalu bagi nombor pendaftaran NDM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media JPJeBid Nombor Pendaftaran Siri NDN di Ibu Pejabat JPJ Negeri Sembilan, di Senawang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azrin berkata, nombor pendaftaran NDN yang tertinggi dibida adalah NDN 11 merangkumi 11 pembida. Diikuti NDN 86 dengan 10 pembida manakala NDN 99, NDN 26 dan NDN 94 masing-masing sembilan pembida.
“Kaedah pembayaran bidaan dalam JPJeBid adalah dengan menggunakan kad kredit dan debit tempatan sahaja.
“Pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran fi perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida.
“Bagaimanapun, setiap individu hanya layak memenangi maksimum tiga nombor pendaftaran. Manakala bagi syarikat atau perniagaan adalah tidak melebihi lima nombor sahaja,” katanya.
Beliau berkata, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli orang awam mengikut harga minimum yang ditetapkan.