Toyota akan mendedahkan versi prestasi Gazoo Racing untuk model Yaris baharu di UK, tetapi mereka menayangkan dahulu video dengan mesej “akan datang”.
Harus diingat Yaris di UK bukanlah spesifikasi dan asal yang sama dengan Yaris di pasaran kita.
Model dalam video itu dilihat merupakan Yaris yang mengambil inspirasi rali, dengan pacuan empat-roda dan lencana GR4. Ia sepatutnya dilancarkan semasa Rally Australia awal bulan ini, tetapi tidak dapat dibuat kerana acara rali itu dibatalkan disebabkan kebakaran hutan.
Walaupun belum ada tarikh dipastikan dari video pendek itu, ia dikatakan ujian akhir oleh CEO Toyota, Akio Toyoda, yang juga merupakan Master Driver kepada pengeluar itu. Akio menggunakan nama samaran ‘Morizo’.
Jentera itu akan menggantikan Yaris GRMN generasi sebelum ini. GR4 bermaksud pacuan empat-roda, yang sejajar dengan Yaris WRC yang disertakan oleh Toyota sejak 2017.
Yaris GR4 ini juga berkemungkinan dijadikan sebagai kenderaan “homologasi istimewa” untuk asas kepada yaris WRC akan datang.
Video itu menunjukkan bahawa penggayaan GR4 ini agak serupa dengan Yaris sedia ada, namun ia ditambah dengan fender tayar belakang lebih lebar dan kit badan lebih agresif.
Mungkinkah Yaris di Malaysia juga mendapat versi Gazoo Racing? UMW Toyota sebelum ini pernah berkata, selain dari GR Supra, mereka akan melancarkan produk susulan dari itu, di bawah nama GR Garage.
Malaysia merupakan negara pertama di luar Jepun yang menampilkan konsep GR Garage ini.