Mercedes GLC facelift hadir dengan 3 varian, 2 gaya badan

2898

Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan GLC facelift yang ditawarkan dalam tiga varian dan dua gaya badan.

Varian-varian itu adalah GLC 200, GLC 300 4MATIC untuk gaya badan SUV biasa, dan GLC 300 4MATIC Coupe untuk badan lebih sporti. Kesemuanya hadir dalam versi CKD yang dipasang di kilang syarikat itu di Pekan.



Mercedes GLC 200 dan GLC 300 4MATIC

Kedua-dua model ini dipacu oleh enjin yang sama iaitu unit M264 2.0-liter turbo 4-silinder. Namun enjin pada GLC 200 menghasilkan 197hp dan 320Nm tork manakala GLC 300 4MATIC ditala untuk menghasilkan 258hp dan 370Nm tork.

Transmisi juga adalah sama, menggunakan automatik 9G-TRONIC dengan 9-kelajuan. Berbanding GLC 200 yang mendapat kuasa kepada roda depan sahaja, GLC 300 4MATIC menggunakan pacuan semua roda.

Dari segi rekabentuk, GLC 200 dihiasi elemen krom, lampu LED direka semula, gril radiator yang berkontur lebih menyerlah, dan rim aloi 20-inci.

GLC 300 4MATIC pula dilengkapi dengan Night Package berdasarkan kemasan AMG Line. Ini memberikan gaya hitam yang garang dan sporti. Kelengkapan lain adalah rim aloi AMG 20-inci, lampu LED Multibeam, dan bumbung suria panoramik.

Di dalam pula, GLC 200 dan GLC 300 4MATIC masing-masing mendapat pakej Exclusive Line dan AMG Line, lengkap dengan pemijak pintu menyala dan balutan kulit ARTICO.

Paparan instrumen 12.3-inci kini mendapat perisian MBUX dengan mod paparan Classic, Progressive dan Sporty.

Mercedes GLC 200 boleh menjadi milik anda pada RM299,888 manakala GLC 300 4MATIC dianggarkan akan berharga sekitar RM350,000.

Mercedes GLC 300 4MATIC Coupe

Mercedes GLC 300 4MATIC Coupe ini pula lebih unik, boleh dikenali sebagai sebuah SUV dan coupe. Konsep ini menggabungkan dinamik dan penampilan.

Ia dijana oleh enjin 2.0-liter turbo M264 yang menghasilkan 258hp dan 370Nm tork, membolehkannya memecut dari 0 ke 100km/j dalam 6.3 saat sahaja.

Sama seperti GLC 300, Coupe ini juga mendapat Night Package berdasarkan kemasan luar AMG Line. Ia menampilkan bampar depan sporti dan rim AMG aloi 20-inci, serta dilengkapi lampu LED MULTIBEAM.

Di dalam pula, ia didatangkan dengan paparan dan perisian baharu, iaitu MBUX dan Mercedes Me Connect.

Ciri lain adalah kemasan kulit disulami trim aluminium, suspensi Sport, dan sistem keselamatan PRE-SAFE.

Berminat? Mercedes GLC 300 4MATIC Coupe dijual pada harga RM419,888.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here