Setelah mendedahkan rupa luaran Kia K5 (dikenali juga dengan nama Optima di Korea Selatan dan pasaran lain seperti Malaysia) pada awal November lepas, Kia kini mendedahkan gambaran kabin dan maklumat powertrain sedan itu.
Pacuan roda-depan masih standard, tetapi beberapa pasaran akan menerima pilihan pacuan semua-roda (AWD).
Pengumuman Kia juga secara spesifik mengatakan bahawa terdapat dua pilihan enjin baharu bakal ditawarkan. Ini adalah 1.6-liter turbo dengan 178hp dan 265Nm tork, serta 2.5-liter turbo yang menjana 286hp dan 422Nm tork.
Enjin 2.5-liter turbo itu akan diberikan pada model Optima GT, membolehkannya melakukan pecutan 0-100 dalam 6.6 saat.
Untuk transmisi, terdapat kotak gear automatik dwi-klac 8-kelajuan, yang akan ditawar bersama automatik 8-kelajuan torque-converter biasa.
Bergantung kepada pasaran juga, Kia Optima/K5 ini akan turut ditawarkan dengan enjin naturally-aspirated 2.0-liter (150hp dan 192Nm tork) dan enjin 2.5-liter (191hp dan 246Nm tork). Kami rasa enjin NA ini yang akan ditawar di pasaran Malaysia, tetapi marilah berdoa agar kita turut mendapat versi GT dengan 2.5-liter turbo.
Enjin-enjin ini akan dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan dan 8-kelajuan. Dikhabarkan terdapat juga powertrain hibrid yang akan diberikan, tetapi Kia masih belum mengumumkan sebarang perincian.
Peliknya, Kia hanya menunjukkan lakaran bahangian dalaman K5/Optima ini, bukan foto sebenar. Tetapi mereka telah mendedahkan banyak maklumat.
Generasi terbaharu ini akan dilengkapi kluster instrumen digital 12.3-inci dan skrin infotainmen 10.25-inci di tengah sebagai pilihan tambahan. Pembeli juga boleh memilih untuk mendapatkan head-up display (HUD) bersaiz 8-inci.
Sistem keselamatan aktif yang pelbagai dari Kia akan dikembangkan lagi dengan penambahan fungsi Remote Smart Parking Assist. Dengan ini, kereta boleh keluar dari parkirnya dengan hanya menekan satu butang di kunci kawalan jauh.
Kia K5/Optima 2020 ini bakal berada di banyak pasaran bermula separuh masa pertama tahun 2020. Apa pendapat anda mengenai k5/Optima ini? Lebih gempak dari Camry, Accord dan Passat?