Pelakon popular Malaysia, Dayana Roza menjelaskan hubungannya dengan pelumba MotoGP, Jorge Lorenzo hanyalah sekadar kawan biasa.
Dayana, 28, atau nama sebenarnya Nur Dayana Kamsun Baharin berkata, dia mengenali pelumba dari Sepanyol itu ketika di perlumbaan MotoGP di Sepang, baru-baru ini.
“Kebetulan saya ada tugasan di situ, jadi saya bertemu dengannya termasuk beberapa pelumba lain. Bagaimanapun, hanya dengan dia saya terus berkawan dan baik hingga sekarang.
“Apa yang menjadi isu selepas itu apabila dia memuat naik gambar kami di Instagram ketika di Bali. Sebelum ini dia sebenarnya tidak memuat naik gambar bersama wanita. Jadi, macam-macam cerita yang timbul.
“Mereka tidak tahu hujung pangkal cerita. Saya ke sana sebab bercuti dengan rakan dan kebetulan dia juga berada di situ. Disebabkan kami kenal dan berkawan, itu yang jumpa di sana. Dalam masa sama, saya ada juga berjumpa kawan lain, tapi tidak pula nak jadikan isu,” katanya.
Dalam masa sama, Dayana mengakui dia mengambil pendekatan berdiam diri disebabkan enggan melayan hal remeh yang sengaja ditimbulkan netizen.
“Ada juga rakan media cuba mendapatkan penjelasan mengenai gambar itu, tapi saya tidak jawab sebab tak nak rosakkan ‘mood’ percutian. Lagipun, saya berasakan ia hanya gambar biasa dan sama seperti orang lain juga.
“Hanya kerana gambar itu, macam-macam mereka fitnah dan lemparkan kata-kata kesat kepada saya. Itulah mentaliti segelintir orang kita. Tapi, tak mengapa. Saya anggap mereka tak tahu apa-apa. Tidak semua perkara perlu dijelaskan. Kalau saya jawab pun, orang akan tetap nak pertikai. Jadi, itu sebab saya diam,” katanya.
Berkongsi mengenai dunia permotoran yang disertai sejak setahun lalu, Dayana Roza memasang impian untuk berlumba di trek.
“Selepas mak izinkan saya terbabit dalam bidang permotoran, baru boleh serius. Sekarang baru ada motosikal jenis Yamaha Y15. Insya-Allah, jika yang lebih besar sudah ada baru saya nak berlumba di trek.
“Sebagai persediaan, sekarang saya dalam proses belajar. Ini memang menjadi impian saya. Dalam masa sama, saya juga terbabit dalam kempen membabitkan sukan permotoran ini,” katanya.