Sememangnya motosikal kustom mempunyai peminatnya yang tersendiri. Mungkin tidak begitu ramai, tetapi ia komuniti niche yang cukup tegar.
Idea untuk kustom ialah berlandaskan kepada imaginasi seseorang itu dan ia boleh menjadi cukup liar atau gila, seperti boleh dilihat pada pameran seperti Art of Speed.
Namun tidak semua kerja kustom melibatkan proses rumit dan melibatkan pengubahsuaian komponen yang “tidak boleh diundur”. Sebagai contoh, memotong frame motosikal anda yang baru dibeli beberapa bulan lepas.
Pasti sayang, bukan? Dan jika anda berubah fikiran, mustahil untuk anda kembali kepada spesifikasi “standard kilang”.
Untuk itu, Nuts Wheels menawarkan solusi untuk kaedah kustom motosikal cara moden.
Menurut Joe, pengasas Nuts Wheels yang kami temui baru-baru ini, pengeluar motosikal kini mempunyai kesedaran mengenai perkembangan dunia kustom, dan boleh dilihat banyak motosikal baharu yang dikeluarkan dengan spesifikasi dan pakej ala kustom.
Ini termasuklah Café Racer, Bobbers, Street Trackers, Choppers dan Classics.
Menggunakan GPX Gentleman 200 sebagai contoh, motosikal itu mempunyai karakter sebuah Café Racer dan mempunyai potensi untuk dikustom menjadi lebih unik.
Projek terbaharu Nuts Wheels ini diberi nama The Dragon, dimana Gentleman 200 asal ini melalui proses analisis setiap komponen untuk menyerlahkan lagi gaya Café Racer jentera ini.
Proses kustom ini walaubagaimanapun tetap memfokus kepada praktikaliti, gaya aestetik dan mesra pengguna. Inilah konsep kustom moden dan terkini.
Dan walaupun GPX Gentleman 200 ini sudah mempunyai gaya Café Racer dari spesifikasi kilang, Nuts Wheels tetap menjumpai bahagian-bahagian pada jentera ini untuk dikustom.
Antaranya adalah perumah lampu depan, fender tepi, crash bar, dan pemijak kaki jenis perlumbaan. Ekzos pula adalah kustom dari SBK Performance.
Kebanyakan komponen selain ekzos adalah direkabentuk dengan teliti menggunakan perisian komputer. Komponen seperti perumah lampu depan dan fender tepi adalah dari bahan plastik ABS.
Untuk fasa seterusnya, komponen belly pan dan splash guard kustom akan dipasang untuk melengkapkan The Dragon ini.
Joe berkata bahawa budaya kustom mempunyai masa depan cerah dan peminat mahukan kaedah mudah, moden dan tetap menghasilkan gaya unik.
Untuk berhubung dengan Joe, anda boleh emel kepada joashnuts@gmail.com atau layari laman Facebook Nuts Wheels di www.facebook.com/nutsgarage/.