Peugeot telah mendedahkan harga dan spesifikasi untuk 2008 dan e-2008 di UK, dengan tempahan kedua-dua model kini dibuka.
Crossover atau apa kita panggil sebagai SUV kompak itu dijual pada harga £20,150 (RM107,973) untuk varian Active dengan enjin 1.2-liter turbo petrol berkuasa 99hp. Varian automatik paling murah (128hp) pula berharga £22,900 (RM122,709).
Model Active hadir standard dengan rim 17-inci, kemasan fabrik-kulit dan lampu kabus LED. Varian seterusnya adalah Allure (dari £22,350 (RM119,762)), GT-Line (dari £26,100 (RM139,857)) dan GT (dari £31,575 (RM169,194)).
Turut ditawarkan ialah versi elektrik e-2008 yang boleh dipilih dari pilihan varian sama, dari Active yang berharga £28,150 (RM150,841) hingga GT yang berharga £34,275 (RM183,662).
Peugeot 2008 baharu ini lebih panjang dan lebih rendah dari sebelumnya, dan hanya 150mm lebih rendah dari 3008 yang lebih besar.
Peugeot 2008 juga dibina di atas platform Common Modular Platform (CMP) yang juga menjadi asas kepada 208 dan Vauxhall Corsa serta DS 3 Crossback.
Di UK, Peugeot 2008 akan dilancar dengan barisan enjin petrol PSA biasa, serta powertrain elektrik. Semua model adalah pacuan roda depan, dengan pilihan Grip Control untuk pelbagai permukaan jalanraya mencabar.
Enjin petrol 1.2-liter akan menghasilkan 99hp, 128hp dan 153hp dengan pilihan transmisi manual 6-kelajuan atau automatik 8-kelajuan. Enjin diesel akan turut ditawarkan, iaitu 1.5-liter dengan 99hp dan manual 6-kelajuan sahaja.
Untuk versi elektrik, e-2008 menggunakan motor tunggal untuk memacu roda depan. Motor ini menghasilkan 136hp dan 260Nm tork. Bateri 50kWh akan memberikan sehingga 309km jarak pemanduan.
Sokongan pengecasan pantas 100kW bermakna e-2008 ini boleh dicaj sehingga 80 peratus dalam masa hanya 30 minit. Regenerative braking pula memberikan lebih pengembalian tenaga untuk pemanduan seperti kereta berenjin petrol.
Kumpulan PSA percaya bahawa kereta elektrik akan menjadi kebiasaan, maka satu-satunya ciri yang membezakan e-2008 dari versi enjin pembakaran dalaman biasa ialah dengan hanya beberapa lencana dan gril berbeza.
Kereta baharu ini mendapat elemen rekaan seperti pada 208 dan 508, termasuklah lampu yang menyerupai gigi dan cakaran harimau.
Di dalam, ia dilengkapi i-cockpit Peugeot terbaharu yang futuristik, dengan roda stereng berdiameter kecil dan paparan infotainment berskrin lebar seperti sedan 508. Terdapat juga kesan tiga-dimensi pada kluster instrumen, dan maklumat pemanduan lain dipaparkan seperti hologram.
Apple CarPlay dan Android Auto dilengkapkan secara standard, dengan fungsi pengecasan tanpa wayar untuk telefon pintar yang menyokongnya.
Varian GT-Line dan GT akan mendapat kemasan kulit dan Alcantara, pencahayaan boleh-kustom dan rim aloi 18-inci. Teknologi keselamatan pula adalah adaptive cruise control dengan bantuan lorong, park assist dan autonomous emergency braking.
Peugeot 2008 ini akan dibinda di kilang di Vigo, Sepanyol dimana model enjin biasa dan EV akan dipasang di tempat pemasangan yang sama. Tetapi unit yang khas untuk pasaran China akan dipasang berasingan di sana.
2008 di UK akan tiba pada awal 2020, dengan e-2008 menyusul tidak lama selepas itu. Peugeot ini akan bersaing secara terus dengan Kia e-Niro dan Hyundai Kona Electric.