McLaren sudah mempunyai raja baharu. Sebuah prototaip Speedtail (kod nama XP2) mencecah kelajuan maksimanya 250 batu sejam (403km/j) minggu ini di landasan Johnny Bohmer Proving Ground di Pusat Angkasa Kennedy, Florida.
Oh ya, sebenarnya Speedtail ini tidaklah road-legal pun di AS. Rekod kelajuan ini memecahkan rekod yang dipegang oleh McLaren F1 yang ikonik, iaitu 240.1 batu sejam (386.4km/j). Ini menjadikan Speedtail model McLaren paling laju.
Dengan ketua pemandu ujian McLaren, Kenny Brack di tempat duduk, prototaip Speedtail itu mencapai kelajuan maksimanya sebanyak 30 kali di landasan sepanjang 3 batu itu.
Ujian kelajuan ini merupakan penutup kepada ujian pamanduan halaju tinggi oleh syarikat itu yang dibuat di merata tempat di seluruh dunia sebelum ini. Siri ujian ini juga termasuklah di Idiada, Sepanyol dan Papenburg, Jerman.
“Ia amat sesuai sekali dengan program pemanduan halaju tinggi Speedtail diakhiri dengan pemanduan kelajuan maksima beberapa kali di lokasi yang dikaitkan dengan meningkatkan sempadan prestasi dan kejuruteraan,” kata CEO McLaren Automotive, Mike Flewitt.
McLaren Speedtail menghasilkan 1,055hp dan 1,150Nm tork dari rangkaian kuasa hibrid gas-elektrik. Ini merangkumi enjin 4.0-liter V8 twin-turbo dan sebuah motor elektrik.
Dengan pakej ini, Speedtail mampu mencapai 300km/j dalam kurang 13 saat, hingga ke kelajuan maksima 403km/j. Ia dikatakan mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 2.5 saat.
Penghantaran McLaren Speedtail akan bermula pada Februari 2020 dan hanya 106 unit akan dihasilkan untuk seluruh dunia. Jentera ini dijual pada harga €1,970,000 (RM10,578,253) dan semua unit telah habis dijual.