Pecutan kereta dari 0 hingga 100 sangat mudah menjadi modal perbualan di forum, mamak atau semasa TT. Tetapi breklah yang membantu kereta-kereta prestasi pulang dengan selamat.
Di sini kami senaraikan 10 kereta-kereta dengan prestasi brek terbaik dari 70 batu sejam (112km/j) hingga berhenti. Semua angka ini adalah berdasarkan ujian bebas oleh media UK, Autocar di keadaan permukaan kering.
-
Porsche 911 GT2 RS (42.0m)
Tidak sah jiwa sukan permotoran 911 GT2 RS apabila berkisar soal brek. Cakera seramiknya dibangunkan untuk kereta lumba siri Supercar, jadi anda mempunyai cakera depan besar 410mm dan 390mm di belakang. Ini memastikan 911 GT2 RS dapat berhenti dari 112km/j dalam 42m.
Brek ini mudah dikenalpasti melalui angkup (calliper) kuning di dalam rim aloi dan cakera depan ini diapit oleh 6 omboh.
Cakera belakang pula masing-masing diapit oleh 4 omboh, manakala penggunaan cakera seramik berlubang mengurangkan sekitar 50% berat berbanding cakera besi.
-
Mercedes-AMG GT R (41.4m)
Apabila anda mempunyai kuasa gila dari V8 AMG, brek yang mantap adalah sama penting dengan potensi enjin. Inilah sebabnya GT R hadir dengan cakera seramik karbon yang dibangunkan oleh pengetahuan sukan permotoran Mercedes-AMG.
Cakera ini berukuran 390mm di depan dan 360mm di belakang. Terdapat angkup 6 omboh jenis terapung di depan, dengan angkup 4 omboh di belakang.
8. McLaren P1 (40.9m)
Untuk prestasi brek, McLaren memang berniat untuk memfokus kepada jentera lumba GT3 semasa membangunkan P1 dan langsung tidak melihat kepada kereta jalanan.
Hasilnya ialah sebuah sistem yang dibangunkan bersama firma Jepun, Akebono dan menggunakan rim 390mm di depan dan 380mm di belakang. Lebih penting ialah bahan untuk brek ini yang mampu menyerap haba 50% lebih baik dari brek seramik 12C untuk berhenti.
Ini dibantu lagi oleh downforce P1 yang membantu menekan tayar kepada jalan di kelajuan tinggi dan terdapat lagi bantuan aerodinamik dari spoiler belakang.
7. Lamborghini Aventador SVJ (40.8m)
Lamborghini tidak nampak keperluan meningkatkan saiz atau prestasi brek Aventador apabila memperkenalkan model SVJ berkuasa 759hp. Ini kerana Aventador S ‘standard’ sudahpun menggunakan cakera seramik karbon 400mm di depan dan 380mm di belakang.
Semasa ujian dengan SVJ pada 2019, ia mampu berhenti dari 112km/j dalam 40.8m dan meletakkannya antara yang terbaik dalam pesaingnya.
Untuk kereta seberat 1,525kg (kering), ia suatu angka yang sangat baik dan menunjukkan Aventador cukup berdaya saing berbanding pesaingnya yang lebih baharu dan canggih.
Ia juga cukup bagus untuk memberikan SVJ rekod pusingan di Nurburgring dengan hanya 6min 44.97saat.
6. Honda NSX (40.7m)
Untuk kereta yang agak canggih, ia agak mengejutkan jika dilihat NSX hanya hadir dengan cakera besi biasa sebagai standard. Walaubagaimanpun, terdapat pilihan seramik karbon dan kebanyakan pelanggan memilihnya.
Pakej ini membolehkan NSX berhenti dari 112km/j dalam 40.7m sahaja. Jika anda kekal dengan brek besi, ia hadir dengan 370mm di depan dan 361mm di belakang. Pilih seramik karbon dan saiznya lebih besar di depan, iaitu 380mm.
Apa pun, cakera-cakera ini diapit oleh Brembo 6 omboh di depan dan 4 omboh di belakang.
5. McLaren 720S (39.9m)
Sudah menjadi kebiasaaan untuk supercar di ‘kelas atasan’ untuk dilengkapi dengan brek seramik karbon sebagai standard dan 720S tidak terkecuali. Terdapat cakera 390mm di depan dan 380mm di belakang, membolehkan 720S berhenti dari 112km/j bawah 40m.
4. Ferrari 488 GTB (39.6m)
Ferrari mendakwa bahawa 488 GTB mempunyai kuasa membrek 9% lebih baik dari model 458 sebelumnya. Dengan bukti brek 39.6m dari 112km/j, nampaknya dakwaan itu cukup benar.
Prestasi brek pada 488 GTB ini disumbang oleh cakera depan seramik karbon 398mm dan 360mm di belakang. Betapa bagusnya setup ini ialah apabila Ferrari tidak mengubahnya apabila memperkenalkan model 488 Pista selepas itu.
3. Dallara Stradale (39.4m)
Bila anda mempunyai kereta yang mampu mengambil selekoh dengan daya 2g, anda pasti mahu ia turut mempunyai brek yang setaraf. Pelanggan Dallara Stradale cukup bernasib baik, mereka mendapat angkup yang boleh menghentikan kenderaan dari 112km/j dalam 39.4m sahaja.
Apa yang mengejutkan mengenai brek Stradale ini ialah ia biasa-biasa sahaja; cakera besi berukuran 305mm di depan dan hanya 4 omboh.
Tetapi prestasi brek mengagumkan itu hadir dari berat kereta yang hanya 885kg, jadi tidak banyak jisim yang perlu dihentikan sebenarnya.
2. Noble M600 (38.9m)
Noble M600 merupakan antara kereta dengan prestasi brek antara terbaik pernah diuji oleh Autocar, dengan hanya 38.9m. Cakera depannya bersaiz 380mm dengan 6 omboh manakala belakang bersaiz 350mm dengan 4 omboh.
Apa yang membuatkan Noble mampu membrek dengan baik ialah kerana sifatnya yang ringan. Dengan 1,198kg, ia boleh dikatakan ringan dalam kategorinya.
-
Porsche 918 Spyder (37.8m)
Porsche 918 Spyder ialah kereta yang akan memeningkan kepala anda untuk memahami bagaimana sesebuah kereta itu bertindak di dalam pelbagai situasi. Ia hanya memerlukan 37.8m untuk berhenti dari 112km/j.
Rahsianya adalah brek seramik karbon 410mm di depan dan 390mm di belakang, dan brek depan ini 4mm lebih tebal dari belakang untuk melepaskan haba dengan lebih baik.
Sistem brek 918 Spyder juga berfungsi sebagai sistem penghasilan semula tenaga hibrid, mengumpul tenaga dari haba brek dan menggunakannya untuk mengecaj semula kereta untuk pemanduan EV.