Seperti tertera pada namanya, Ducati Panigale 1299 R Final Edition ialah edisi akhir model itu. Ia memberi penghormatan kepada enjin Superquadro yang meletakkan nama Ducati dalam rekod sejarah. Enjin dengan bore 116 mm itu menghasilkan output menakjubkan pada 209 hp dan 142 Nm tork.
Dengan 1299 R Final Edition ini, Ducati meraikan enjin silinder berkembar yang mencipta sejarah dalam Superbike World Championship. Dari kemenangan pertama Marco Lucchinelli ada 1988 sehingga kejuaraan Chaz Davies dan Marco Melandri pada 2017, Panigale R sentiasa cemerlang.
Panigale 1299 R ini dibina dengan kombinasi enjin berprestasi tinggi dan casis perlumbaan. Elektronik canggih Bosch Inertial Platform pula menjanjikan kawalan sepenuhnya kepada penunggang dalam apa jua situasi.
Beberapa lagi ciri menarik pada Panigale 1299 R Final Edition termasuklah:
Teknologi Monocoque: Menjadi ’tulang’ yang tegar, kukuh dan ringan kepada motosikal ini.
Suspensi mekanikal Ohlins: Suspensi berjiwa perlumbaan ini termasuklah fork NIX30, penyerap hentak TTX36, steering damper dan kesemuanya boleh dilaras.
Rim istimewa: Edisi ini menampilkan roda aluminium diperkukuh dengan spoke Y Marchesini berwarna merah.
Ducati Traction Control EVO (DTC EVO): Sistem kawalan cengakaman ini menggunakan algoritma yang memberikan sedikit slippage optima untuk tayar belakang untuk prestasi perlumbaan.
Ekzos perlumbaan: Panigale ini datang dengan sistem ekzos berkembar Akrapovič titanium sepenuhnya (Euro 4).
Livery istimewa: Livery dengan warna ikonik bendera Itali menjadikannya motosikal unik dan ideal untuk koleksi.
Seperti nombor cc-nya, hanya 1,299 unit Ducati Panigale 1299 R Final Edition ini akan dibina untuk seluruh dunia. Salah satu dari unit itu kini berada di bilik pameran Ducati Kuala Lumpur. Rare beb!
Menurut laman Facebook Ducati_KualaLumpur, unit itu akan dijual pada harga RM300,000. Kepada yang berminat, boleh hubungi jurujual mereka di 012-4719171 atau
016-2063245. Bagi kami, harga itu sangat berbaloi dan jika kami mampu, pasti dibeli kerana motosikal sebegini pastinya menjadi future classic.