Mercedes-Benz CLA 2019 C118 telah diperkenalkan baru-baru ini dan ia kini bukan lagi sekadar A-Class dengan but. Ini kerana A-Class akan mempunyai versi sedannya sendiri. Ini menjadikan CLA dalam kelasnya yang unik, ibarat sebuah CLS lebih kecil.
Sedikit keliru? Jangan risau. Menurut artikel Car and Driver, ketua pereka Mercedes, Gorden Wagener, berkata bahawa A-Class dan A-Class sedan adalah lebih praktikal dan lebih konvensional. CLA pula direka agar lebih seksi dan kurang praktikal.
Kurang praktikal bukanlah bermakna ia tidak bagus, cuma aspek itu bukan fokus utamanya. Sebaliknya, aspek penggayaan diberi penekanan. Ia juga lebih aerodinamik. Ibarat Mercedes CLS yang lebih seksi dan kurang praktikal berbanding Mercedes E-Class.
Dimensi
CLA generasi kedua ini lebih besar berbanding model terdahulu; 48 mm lebih panjang, 53 mm lebih lebar, dan 2 mm lebih rendah. Wheelbase-nya juga bertambah, bermakna ia lebih stabil di kelajuan tinggi.
Ciri luaran yang akan diberi termasuklah pilihan lampu Multibeam LED dan LED High Performance. Rim pula adalah antara 16- hingga 19-inci.
Kokpit dan MBUX
Di dalam, ia serupa dengan A-Class baharu. Papan pemukanya didominasi oleh skrin flat 10.25-inci dari depan pemandu hingga ke tengah. Ini juga bermakna CLA akan mendapat sistem infotainment Mercedes Benz User Experience (MBUX) dengan fungsi voice command. Interior Assist pula merupakan ciri yang membolehkan pemandu mengoperasi sistem dengan pergerakan tangan di udara (gesture control).
Antara fungsi pintar termasuklah menghidup dan mematikan lampu membaca dengan hanya mendekatkan jari ke cermin pandang belakang.
Keselamatan
Beberapa ciri pada S-Class akan dijumpai pada CLA ini seperti Active Brake Assist dan Active Lane Keeping Assist. Terdpat juga Active Distance Assist Distronic, Active Emergency Stop Assist dan Active Lane Change Assist.
Enjin dan varian
Dua varian petrol dan satu varian diesel dijangka akan ditawarkan. Varian petrol akan menggunakan enjin 1.33-liter turbo dan 2.0-liter turbo, manakala 1.5-liter untuk diesel. Dan semestinya, varian AMG iaitu CLA 35, CLA 45 dan CLA 45 S dengan kuasa antara 306 hp hingga 421 hp.