8 sebab mengapa Rolls-Royce Cullinan berharga RM1.8 juta

4680

Rolls-Royce Cullinan, SUV paling mewah di Malaysia telah dilancarkan oleh Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur semalam. Cullinan ditawarkan dalam versi 4- dan 5-tempat duduk dan merupakan SUV pertama dari syarikat kereta ultra-mewah itu.

Rolls-Royce SUV Cullinan

Rolls-Royce Cullinan dijual pada harga bermula RM1.8 juta sebelum cukai. Harga ini akan meningkat lagi bila anda menambah aksesori pilihan yang ditawarkan. Segalanya boleh di-custom khas untuk anda. Jadi, amat sukar untuk menjumpai Rolls-Royce Cullinan (atau mana-mana Rolls-Royce) yang serupa luar dan dalam.



Nama Cullinan diberikan sempena nama berlian terbesar pernah ditemui. Hmm Rolls-Royce, berlian, SUV, Cullinan. Hmm…

Jadi, apa yang buatkan Rolls-Royce Cullinan ini begitu mahal? Istimewa sangatkah kereta ini? Kami senaraikan 8 sebab:

1. Segala-galanya besar buat Rolls-Royce Cullinan

Rolls-Royce Cullinan pandangan hadapan

Sebagai sebuah SUV dan sebuah Rolls-Royce, segala-galanya besar mengenai Cullinan. Tingginya mencecah 1,836 mm, rimnya bersaiz 22-inci dan jika kerusi belakang dilipat, terdapat 1,930 liter ruang kargo.

Enjinnya? 6.75-liter V12 turbo berkembar yang mampu menghasilkan 850 Nm tork pada 1,600 rpm sahaja. Transmisi ialah automatik 8-kelajuan.

2. Rolls-Royce pertama boleh off-road

Rolls-Royce terkenal dengan keretanya yang sangat mewah, senyap dan selesa. Namun, untuk mereka sebuah Rolls-Royce dengan ciri sama, ditambah pula dengan kebolehan off-road, pasti suatu tugas yang sukar.

Ini melibatkan teknologi (dan kos) yang tinggi. Untuk masuk ke jalan mencabar, terdapat butang Kawalan Turun Bukit, Kawalan Pelarasan Ketinggian Suspensi Udara, Kawalan Penglihatan Keliling termasuk Pandangan Helikopter dan Bantuan Penglihatan termasuk amaran Hidupan Liar dan Pejalan Kaki.

3. Rolls-Royce Cullinan guna sistem stereng empat roda

Kabin Rolls-Royce Cullinan

Cullinan lebih panjang dari Mercedes S-Class namun mudah dikemudi kerana dilengkapi sistem stereng empat roda. Pada kelajuan rendah, roda depan dan belakang dipusing berlawanan arah untuk memendekkan jarak pusingan (mudah untuk buat pusingan-U) dan pada kelajuan tinggi, roda depan dan belakang dipusing pada arah sama untuk meningkatkan kestabilan.

4. Kabin paling senyap

Kabin belakang Rolls-Royce Cullinan

Suatu kemestian untuk kereta-kereta Rolls-Royce untuk mempunyai kabin senyap dan selesa, dan Cullinan tidak terkecuali. Malah, ia dikatakan mempunyai kabin paling senyap untuk mana-mana SUV.

Kira-kira 100 kg bahan penebat digunakan di sekeliling kenderaan yang akan menyerap bunyi-bunyi tidak diperlukan dari jalan. Cerminnya juga dihasilkan khas untuk Cullinan, dengan tebal 6 mm untuk menapis sebarang bunyi dari masuk ke dalam kabin. Tahap kesenyapan kabinnya ialah anda boleh mendengar bunyi jam berdetik di dalam Cullinan ini!

5. Tahap perincian Rolls-Royce Cullinan sangat tinggi

Pengeluar kereta dari Britain terkenal dengan kenderaan mereka yang diberikan perhatian dan penghalusan dalam pembinaannya. Antara yang biasa adalah logo RR pada rim yang akan kekal dalam posisi menegak tidak kira rim itu berputar macam mana pun, dan lambang Spirit of Ecstasy di hujung hud depan yang mempunyai butang khas di dalam kabin untuk menurunkan dan ‘menyoroknya’.

Untuk panel-panel dan kemasan di dalam kabin, kayu yang digunakan telah dipilih dengan teliti mengikut corak alurnya. Konsol tengah belakang dan papan pemuka hanya akan menggunakan kayu dengan alur berbentuk V manakala alur kayu di panel pintu dicondongkan pada sudut 55-darjah. Memilih betul!

Tidak dilupakan juga tempat duduk kulitnya yang hanya akan dipilih dari kulit lembu jantan untuk mengelakkan terdapatnya kesan regangan dari kulit lembu biasa.

6. Pengering payung automatik

Pengering payung auto Rolls-Royce Cullinan

Hakikat bahawa Rolls-Royce mempunyai payung sendiri di dalam pintu belakang bukanlah sesuatu yang baharu. Namun tahukah anda, corong tempat meletak payung itu dihubungkan dengan sistem pendingin hawa supaya anda tidak perlu risau dengan payung basah yang diletakkan di situ.

Oh ya, payung itu mempunyai bahagian yang mengikut warna badan Rolls-Royce anda!

7. Tayar direka khas untuk Rolls-Royce Cullinan

Tayar khas untuk Rolls-Royce Cullinan

Kebanyakan supercar dan hypercar mempunyai tayar yang dibangunkan khas untuk kereta itu. Begitu juga kereta ini, tayarnya direka khas untuk mengurangkan bunyi dan rintangan golekan.

Tayar dari Continental itu juga direka agar boleh dipandu dengan baik di jalan berturap dan off-road.

8. Sistem menarik dan unik – Suspensi Udara Boleh-laras, Penglihatan Helikopter

Suspensi udara Rolls-Royce Cullinan boleh laras

Ketinggian Cullinan akan direndahakn 40 mm secara automatik untuk memudahkan masuk keluar dari kenderaan. Ini diaktifkan melalui kunci Bespoke khas.

Mod Penglihatan Helikopter pula boleh menunjukkan kenderaan Cullinan anda dari tepi, atas, depan dan belakang seperti dalam permainan video. Imej beresolusi tinggi itu akan dipapar pada skrin tengah di papan pemuka. Ciri ini amat membantu ketika mengemudi Cullinan di lorong sempit atau jalan tidak rata.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here