Mercedes W177 telah dilancarkan beberapa bulan lepas. Mampukah generasi keempat ini meneruskan momentum W176? Sengaja kami ambil varian asas A 200 Progressive Line untuk melihat sejauh mana ia memikul tugas itu.
Jika dilihat, A-Class generasi ketiga W176 mula mendapat tempat di hati pembeli sepatutnya. Jika sebelum itu Mercedes tidak begitu mesra untuk golongan muda, dikatakan jenama ‘pakcik’, W176 berjaya mengubah persepsi itu, terutamanya dengan Mercedes-AMG A 45.
Anak muda tidak lagi segan memandunya, malah A 45 itu cukup nakal melepak bersama Civic FD2R Type-R, Volkswagen Golf R malah Evo. Lihat sahaja pagi Ahad dimana geng-geng ini naik ke Genting untuk morning drive dan bersarapan di sana.
Luaran
A-Class 2019 ini menggunakan bahasa rekaan terbaharu Mercedes iaitu Sensual Purity. Ini bermakna lampu depan lebih nipis dan gril lebih rendah. Ciri ini dapat juga dilihat pada model lebih besar seperti Mercedes CLS.
Bagi penulis, rekabentuk depan A-Class ini agak sukar ‘dihadam’ walaupun faham arah yang dituju olehnya. Bagaimana dengan anda? Tinggalkan komen pendapat anda mengenai rekabentuk depan ini.
Walau bagaimanapun, penulis amat sukakan bentuk DRL LED yang nampak garang, terutamanya bila dilihat dari jauh atau pada pentulan di badan kereta di hadapan. Rasa up sikit melihatnya.
Unit lampu depan A 200 ini ialah LED High Performance, dan ia memang cukup cerah dan berkesan menerangi jalan. Lampu belakangnya pula kontroversial. Ada yang mengatakan mirip kereta dari Korea, ada yang berkata dari Jerman. Hmm penulis biar anda sahaja tentukannya.
Secara keseluruhan, Mercedes A 200 kini telah membesar sedikit berbanding sebelumnya. Ia lebih panjang, lebih lebar dan lebih tinggi. Jarak roda juga bertambah.
Dalaman
Dengan pertambahan jarak roda, ini bermakna ruang dalaman lebih luas. Perkara ini jelas dan boleh dipercayai. Ruang kepala dan kaki di tempat duduk belakang sememangnya lebih lapang berbanding Mercedes A-Class sebelumnya seingat penulis. Ruang kargo juga lebih besar dari yang disangkakan.
Kita terus ke ruang depan tempat pemandu. Impresi pertama ialah A-Class kini nampak terlalu mewah dan terlalu ‘Mercedes’. Kenapa? Kerana A-Class sebelum ini sangat sporti dan nampak muda.
A-Class kini menggunakan skrin 10.25-inci panjang melintang yang sama seperti pada E-Class terbaharu. Skrin tunggal ini terbahagi kepada dua paparan; satu untuk maklumat pemanduan di hadapan pemandu dan satu lagi untuk unit multimedia di tengah.
Paparannya sangat cantik, beresolusi tinggi dan mudah dibaca. Tiada rungutan di bab ini. Namun kesemua ini termasuk rekaan roda sterengnya nampak seperti lebih sesuai pada C- atau E-Class. Faham apa yang cuba diperkatakan?
Dair segi bahan dan kualiti binaan, sangat baik. Pemilihan bahan menunjukkan kereta ini lebih berkualiti dan premium. Paling penulis sukakan ialah corong pendingin hawanya. Ia diperbuat dari besi seperti stainless steel yang sangat halus buatannya. Ia sejuk bila dipasang pendingin hawa dan mempunyai lampu yang mengikut tema warna kabin yang dipilih.
Enjin dan prestasi
Enjin di dalam A 200 2019 ini ialah 1.33-liter, lebih kecil berbanding dengan A 200 sebelum ini. Ia juga sebenarnya enjin Renault, dan ia cukup bertenaga. Sebaik masuk ke gear D, penulis dapat rasakan betapa lancarnya kereta mula bergerak. Enjin dan transmisi dwi-klac bekerjasama memberikan pergerakan bersahaja dan santai.
Transmisi dwi-klac dari Getrag ini tidak terasa sebegitu menerus seperti dwi-klac pada Porsche, Volkswagen atau DCT milik Mercedes sendiri. Sebaliknya, unit dwi-klac jenis basah ini terasa seperti automatik torque converter biasa. Ia menukar gear dengan lancar dan tidak terlalu mendadak. Kurang elemen sporti, tetapi cukup sesuai dengan karakter A 200 ini.
Enjin dan transmisi memberikan pecutan yang membuatkan kereta terasa ringan. Bila disemak, sebenarnya ia seberat 1,375 kg, agak berat bagi sebuah hatchback. Namun talaan enjin, transmisi dan suspensi memberikan rasa seolah-olah ia 200 kg lebih ringan.
Dengan tork sebanyak 250 Nm pada 1,620 rpm sahaja, enjin tidak perlu bekerja keras. Transmisi akan menukar gear lebih tinggi seawal yang boleh walaupun dalam pecutan yang deras. Ditambah pula dengan kabin yang sangat senyap, memang tidak sedar meter sudah menunjukkan angka melebihi had laju.
Satu yang penulis kurang suka mengenai aspek pemanduan A 200 ialah kurangnya rasa terkawal pada gandar belakang. Ini kerana A 200 ini dilengkapi suspensi jenis torsion beam di belakang, jadi jika membelok pada kelajuan tinggi dan jalan tidak berapa rata, kereta sedikit membuai. A 250 dan A 35 serta A 45 AMG nanti mendapat suspensi belakang jenis multi-link, pasti lebih memuaskan untuk aspek ini.
Namun perkara ini tidaklah begitu mengganggu pengalaman pemanduan A 200 ini kerana ia bukan direka untuk pemanduan berprestasi tinggi. Cukup untuk pemanduan harian, pemanduan jarak jauh untuk bercuti dan mempunyai kuasa yang baik.
Dan paling penting, A 200 ini sangat-sangat ekonomikal. Penulis memperoleh purata 14 km/liter dan penulis langsung tidak begitu mencuba. Terdapat campuran pemanduan bandar, pemanduan lebuhraya kelajuan sederhana dan tinggi, serta pemanduan dengan membawa penumpang penuh.
Dengan angka 560 km untuk sekitar 40 liter petrol (kapasiti tangki 50 liter), penulis amat kagum dengan prestasi A 200 di aspek ini.
MBUX
Ingin disentuh sedikit mengenai ciri baharu pada A-Class 2019 iaitu MBUX (Mercedes-Benz User Experience). Ciri ini amat sesuai dengan jiwa A-Class yang biasa dimiliki golongan muda yang mengikuti trend terkini.
Segala fungsi seperti navigasi, sambungan Bluetooth, kawalan media dan maklumat pemanduan amat mudah digunakan dan diakses. Dan yang menjadi highlight pada MBUX ialah sistem kawalan suara. Dengan hanya berkata “hey Mercedes”, unit multimedia sedia menerima arahan kawalan fungsi utama.
Ia tidaklah begitu berkesan, kadang-kala penulis terpaksa mengulang semula arahan atau akhirnya menekan sendiri dengan jari di kawalan konsol tengah. Cuma ada beberapa fungsi seperti navigasi dan radio yang dapat ia terima dengan baik. Apa pun, ciri ini boleh anda tunjukkan kepada kawan yang menumpang, baru dia tahu betapa cool A 200 ini.
Kata akhir
Sememangnya A 200 Progressive Line ini mewakili langkah ke depan yang diorak oleh Mercedes. Ia mendapat gaya, ciri dan teknologi terkini. A 200 ini juga seronok dipandu dan sesuai dengan pembeli muda atau pembeli Mercedes pertama.
Ia dijual pada RM227,888.00 iaitu hampir RM30k lebih mahal dari dulu. Namun, ia mampu memberi nilai pemilikan yang lebih juga berbanding A-Class generasi W176.
Anda mungkin seperti penulis yang sukar menerima gaya luaran terkini A-Class, namun perubahan harus dilakukan dan langkah ke depan tetap harus diambil.
Skor: 8/10
Spesifikasi Mercedes A 200 Progressive Line:
Harga: RM227,888.00
Enjin: 1.33-liter DOHC, suntikan terus bahan api, turbo
Kuasa maksima: 163 hp @ 5,500 rpm
Tork maksima: 250 Nm @ 1,620 rpm
Transmisi: Automatik dwi-klac 7-kelajuan
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), torsion beam (belakang)
Berat: 1,375 kg
Sistem keselamatan: 7 beg udara, ABS, EBD, Stability Control, ISOFIX, Front Collision Warning, Active Brake Assist