Anda pasti sudah kenal Honda Civic (FK8) Type-R yang menjadi perhatian semasa pelancarannya, seperti juga Type-R yang lain.
Top Gear baru-baru ini menggandingkan Civic Type-R itu dengan sebuah supercar, Lexus LC500. Ya, kami tahu kedua-dua kenderaan ini bukan dalam liga yang sama. Tetapi masing-masing cemerlang dalam kelas masing-masing.
Honda Civic Type-R memegang rekod kereta pacuan roda depan terpantas di beberapa litar seluruh dunia termasuklah Nurburgring, Jerman. Lexus LC500 pula mempunyai enjin naturally-aspirated yang merdu dan rekabentuk menggiurkan dengan segi dan bucu tajam.
Spesifikasi Honda Civic Type-R:
Enjin: 2.0-liter DOHC, V-TEC Turbo
Kuasa: 306 hp @ 6,500 rpm
Tork: 400 Nm @ 2,500 rpm
Transmisi: Manual 6-kelajuan, pacuan roda depan
Pecutan 0-100 km/j: 5.8 saat
Berat: 1,390 kg
Harga: RM330,002.00
Spesifikasi Lexus LC500
Enjin: 5.0-liter DOHC, naturally-aspirated, VVT
Kuasa: 470 hp @ 7,100 rpm
Tork: 540 Nm @ 4,800 rpm
Transmisi: Automatik 10-kelajuan, pacuan roda belakang
Pecutan 0-100 km/j: 4.4 saat
Berat: 1,970 kg
Harga: RM1,242,000.00
Dalam perbandingan ini, Civic Type-R dipandu oleh salah seorang penyampai Top Gear, Chris Harris. Dan disebabkan ini bukan di United Kingdom, maka mereka menjemput sepupu Jepun, The Stig Ninja yang memakai sut hitam.
Jadi, bagaimana Civic Type-R dengan kuasa lebih rendah mampu ‘menapau’ Lexus LC500 yang jauh lebih berkuasa?
Dua sebab utama; berat dan jenis litar. LC500 agak berat kerana ia bukanlah direka untuk ‘dilenjan’ di litar, tetapi untuk perjalanan jarak jauh sporti yang selesa. Litar juga agak sempit dengan jarak antara setiap selekoh tidak begitu jauh.
Jadi, walaupun LC500 mempunyai 160 hp lebih dari Type-R, namun ia hampir 600 kg lebih berat. Ini ‘membantutkan’ sedikit prestasinya di litar.
Mungkin LC500 akan mempunyai peluang lebih cerah sekiranya ia berentap dengan Civic Type-R di litar GP bersaiz penuh seperti Suzuka, Spa-Francorchamps atau Sepang.
Apa pun, enjoy video ini!