Hyundai semakin serius dengan model prestasi mereka. Untuk yang belum mengetahui, divisyen N bolehlah dikira seperti RS untuk Audi, R untuk Volkswagen, M untuk BMW dan AMG untuk Mercedes.
Perancangan terbaharu syarikat itu ialah SUV Tucson N, menurut laporan Auto Express. Walaubagaimanapun, ia bukanlah dalam masa terdekat ini. Laporan itu mengatakan Tucson N akan tiba sekitar dua tahun lagi. Dengan rupa Tucson terkini, mungkin varian prestasi N itu diperkenal di hujung jangka hayat Tucson ini.
Spesifikasi masih menjadi rahsia, tetapi boleh dijangkakan ia bakal memperoleh kuasa sebanyak 340 hp dan pecutan 0 ke 100 km/j bawah 6 saat. Ini akan meletakkan Tucson N sebaris dengan lawan seperti Audi SQ5, Volkswagen T-Roc R dan Cupra Ateca.
Jurutera Hyundai berkata bahawa mereka mengambil sedikit masa untuk Tucson N ini, dan akan benar-benar memastikan SUV ini mampu menjadi “game-changer” untuk Hyundai dan N.
Divisyen itu juga diketahui dalam pembangunan untuk model pacuan semua roda dan transmisi berdasarkan dari kota gear pada hot hatch i30 N.
Apa-apa pun, sebelum Tucson N tiba, kenderaan N seterusnya ialah model hot-hatch lebih kecil, berdasarkan i20. Dijangka tiba pada 2020, i20 N bakal mempunyai 250 hp, pacuan semua roda dan pembeda elektronik. Ia akan bersaing dengan model-model seperti Fiesta ST, Clio RS dan Polo GTi.