Porsche 718 Cayman SportDesign Series unik untuk pasaran Malaysia

3037

Sime Darby Auto Performance (SDAP) hari ini melancarkan Porsche 718 Cayman SportDesign Series untuk pasaran Malaysia.

Porsche 718 Cayman bukanlah model yang baharu di sini. Ia mula diperkenalkan lebih dua tahun lepas.



718 Cayman SportDesign Series hadir dengan ciri eksklusif dan terhad kepada 15 unit sahaja. Tiga pilihan warna ditawarkan (Racing Yellow, Guards Red dan Carrara White Metallic) dengan 5 unit untuk setiap warna.

Luaran

Porsche 718 Cayman SportDesign Series dapat dikenalpasti dari Cayman biasa melalui ciri luaran istimewa. Ini termasuklah pelekat badan karbon, bampar depan dan belakang dengan rekaan unik serta warna hitam pada pembuka pintu dan ekzos. Sistem ekzos sport datang standard dengan kereta ini.

Kelengkapan lain termasuklah lampu depan LED Porsche Dynamic Light System Plus (PDLS+) dan lampu belakang dengan rekaan lampu brek four-point.

718 Cayman ini boleh didapati dengan pilihan rim 20-inci Carrera S atau Carrera Sport Wheel.

Dalaman

Untuk kabinnya, Cayman SportDesign Series mendapat kemasan karbon dan pakej kemasan kulit berwarna hitam. Ciri lain pada edisi ini adalah tempat duduk berkuasa 14-cara dan sistem audio BOSE dengan 10 pembesar suara.

Prestasi

Porsche tidak meninggalkan aspek prestasi untuk peningkatan edisi terhad ini. Cayman SportDesign Series dilengkapi Porsche Active Suspension Management (PASM) sebagai standard. Ini merendahkan kereta sebanyak 10 mm dengan kebolehan menala casis untuk pemanduan lebih sporti.

Sport Chrono Package dan transmisi PDK juga standard, membolehkan Cayman ini memecut dari pegun ke 100 km/j di bawah 4 saat.

Porsche 718 Cayman SportDesign Series boleh menjadi milik anda pada RM625,000 dan ia disekalikan dengan jaminan empat tahun dan pakej penyelenggaraan percuma.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here