Sebuah kereta Proton Iswara Aeroback terbabas terbalik di atas kubur. Dalam kejadian jam 11:30 malam itu, pemandu yang berusia 30 tahun sedang dalam perjalanan dari arah persimpangan lampu isyarat Semabok menghala ke Ujong Pasir.
Mungkin kedengaran kelakar atau mengejutkan, namun itulah yang terjadi di Jalan Bukit Senjuang, Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, “kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba mengelak anjing sebaik tiba di tempat kejadian.
“Akibat itu kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh kubur di sebelah kanan jalan.”
Pemandu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan luka di kepala serta tangan. Dia kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta.
Kereta itu kini ditahan di IPD Melaka Tengah untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut.