Akibat kena kunci tayar, Peguam saman MPKB

5103

Seorang peguam memfailkan saman terhadap Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) susulan tindakan pihak berkuasa tempatan itu mengunci tayar keretanya, bulan lalu.

Ang Kai Whei, 38, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menerusi Tetuan Yeap dan Ang pada 21 Februari lalu.

Laporan Berita Harian dipetik Ang berkata, dia berpendapat bahawa pihak MPKB-BRI tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mengunci tayar kereta terhadap kesalahan meletak kereta di luar petak sedangkan kompaun boleh dikeluarkan.



“Kejadian itu berlaku pada 2 Februari lalu kira-kira jam 1.09 tengah hari di Jalan Ismail Hilir di sini selepas saya menyelesaikan urusan kerja di pejabat.

“Bagaimanapun, selepas kembali ke kereta, saya terkejut melihat tayar dikunci dan terus menghubungi pihak berkenaan untuk datang membuka besi pengunci tayar itu.

“Namun, pihak berkenaan memberitahu, saya perlu menjelaskan bayaran RM110. Dan disebabkan tidak mempunyai pilihan saya perlu mengikut arahan mereka,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Kai Whei berkata, disebabkan tidak berpuas hati, dia memfailkan saman terhadap MPKB-BRI minggu lalu.

“Pengurusan kes akan dijalankan 24 Mac ini di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Azmi Ali mendesak kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) meneliti semula penguatkuasaan sistem parkir di negeri ini.

“Saya difahamkan untuk membuka kunci tayar, mereka perlu membayar RM110 dan melunaskan saman yang tertunggak sebelum ini. Tindakan ini dianggap menzalimi penduduk yang tidak berkemampuan sekali gus bertentangan dengan slogan ‘Kerajaan Berkebajikan’ yang dilaungkan sebelum ini.

“Jika mahu memberi pendidikan kepada rakyat, ini bukan caranya masih ada cara yang boleh dilakukan tanpa membebankan rakyat,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here