Suzuki Katana 2019 dijual pada musim bunga ini, harga bermula RM61,802

2730

Hujung tahun lalu, Suzuki akhirnya mendedahkan sebuah model legenda Suzuki Katana 2019 ,yang pernah menambat hati ribuan peminat di serata dunia selepas ia diperkenalkan pada tahun 1981.

Ya, Suzuki Katana. Untuk model edisi 2019 ini, ia dilancarkan ketika pameran Intermot di Cologne 2018, Jerman.



Kini, jentera legenda itu bakal memasuki pasaran Eropah pada musim bunga tahun ini yang dijual bermula £11,399 (RM61,802).

Suzuki Katana 2019 juga ditawarkan dengan pakej aksesori Samurai berharga £999 (RM5,416), ia bermakna pengguna lebih jimat £383 (RM2,076) jika beli secara berasingan.

Pakej aksesori itu membabitkan cermin pelindung angin hadapan, set warna merah dan hitam, kemasan karbon pada mud guard, penutup enjin, pad tangka dan pelekat rim.

Melihat pada badannya, ia nampaknya menggabungkan seni bina Katana klasik dicampur dengan model konsep Stratosphere 2005 sebelum dikacuk bersama Katana 3.0 konsep di Eicma pada 2017. Kombinasi moden dan klasik.

Katana 2019 ini direka oleh pereka motosikal terkenal, Rodolfo Frascoli dan dibina pula oleh Engines Engineering. Ia adalah firma Itali dan mereka adalah pihak disebalik pembinaan Katana 3.0.

Bahagian hadapan atau muka motosikal ini dengan mudah membangkitkan kenangan mengenai Katana. Lampu hadapannya berbentuk segi empat tepat dengan susunan lampu jenis LED. Bagaimanapun, model generasi baharu ini juga ada lampu siang LED.

Lampu belakang juga menggunakan jenis LED menapak di zon bawah pelana. Ia semakin mudah dilihat selepas tapak memegang nombor plet dialihkan ke bahagian lengan ayun.

Nombor plat tetap jelas kelihatan kerana ia menutupi tayar belakang yang berfungsi seakan-akan penghadang percikan. Pemegang plet itu disambungkan pada lengan ayun. Lampu signal atau isyarat membelok dipasang pada pemegang nombor plat sama.

Tempat duduknya adalah setinggi 825 milimeter (mm) dan posisi tunggangan disifatkan sebagai positif dengan penggunaan sebatang bar hendal tunggal yang ditempatkan dihadapan tangki petrol bersama fairing.

Terdapat tulisan berwarna merah gaya klasik Suzuki pada sisi tangki tetapi ditambah dengan beberapa garisan sudut tajam dengan padanan warna motosikal ini adalah perak klasik.

Untuk pengendalian sistem suspensi motosikal ini boleh dilaras sepenuhnya. Bahagian hadapan menggunakan fork 43mm terbalik, manakala belakang menggunakan penyerap hentak tunggal jenama KYB.

Sistem breknya dikawal oleh angkup brek monoblok hadapan yang mengawal cakera 310mm datangnya daripada Brembo. Sistem ABS pula dari Bosch.

Kuasa motosikal ini dijana daripada enjin empat silinder sebaris iaitu sama seperti model GSX-R1000 K5, tetapi ditala semula agar lebih berprestasi untuk jalan raya.

Enjin berkapasiti 999cc itu menggunakan satu rekaan lejang panjang (73.4mm x 59.0mm) untuk desakan kuasa bagi semua julat pusingan enjin. Outputnya ialah 150hp pada 10,000rpm manakala tork puncak 108Nm pada 9,500rpm.

Ada tiga mod pilihan bagi sistem kawalan cengkaman dan ia boleh dipadamkan jika anda seorang penunggang profesional. Sistem ini akan sentiasa mengawasi kelajuan pergerakan roda depan dan belakang, posisi pendikit minyak, kedudukan gear dan lain-lain lagi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here