Tesla Model Y telah dilancarkan secara rasmi, dan ia SUV kedua dari syarikat kereta elektrik itu dan model produksi kelima.
Elon Musk menyempurnakan acara pelancaran yang diadakan di studio rekabentuk Tesla di Los Angeles dan mendedahkan spesifikasi serta ciri model itu.
Model Y ialah SUV lebih kecil dari Model X, dan dibina di atas pelantar sama dengan model permulaan Tesla iaitu sedan Model 3. Model Y mempunyai profail fastback seperti Model X, namun SUV baharu ini tidak mempunyai pintu Falcon Wing.
Seperti juga X dan S, Model Y boleh didapati sebagai model tujuh tempat duduk, dan ia adalah pilihan tambahan bernilai $3000 (RM12,200).
Menariknya, Tesla menawarkan Model Y dalam bentuk pacuan roda-belakang, dengan versi Long Range akan hadir pada 2020 dan versi Standard pada musim luruh 2021. Untuk versi pacuan semua-roda, terdapat model asas Dual Motor dan model prestasi Performance, kedua-duanya akan didapati pada pelancancaran di musim luruh 2020 nanti.
Versi Long Range menjanjikan jangkauan 300 batu (482 km), dan versi Performance mampu memecut dari 0-96 km/j dalam 3.5 saat. Malah versi Standard juga mempunyai spesifikasi impresif, dengan 230 batu (370 km) jarak dan pecutan 0-96 km/j kurang 6 saat.
Dengan pusat graviti rendah kerana baterinya terletak di lantai, Musk berkata Model Y akan mempunyai pengendalian seperti kereta sports.
Musk menjangkakan Model Y akan lebih laris dari Model S, X dan 3 digabungkan sekali. Dan ini tidaklah mengejutkan dengan populariti SUV kompak mewah pada masa kini.
Harga akan bermula dari $39,000 untuk Standard, $47,000 untuk Long Range, $51,000 untuk Dual Motor AWD dan $60,000 untuk Performance.
Penghantaran hanya akan bermula tahun depan, namun anda sudah boleh mula membuat tempahan di laman wab Tesla dengan deposit $2,500 (RM10,200) sekarang.