Zaqhwan Zaidi bakal beri saingan Cub Prix 2019 Pusingan 1

2287

Juara kelas perdana CP130 2014, Md Zaqhwan Zaidi yang juga merupakan juara Asia kategori SuperSports 600cc musim 2014 dan 2016 sudah bersedia dan bakal kembali mewarnai kancah saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019.

Kejuaraan itu akan membuka tirai di Jasin, Melaka pada 23 dan 24 Mac ini.



Nama Zaqhwan berada dalam senarai pelumba CP150 pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing musim 2019 setelah tidak beraksi pada musim lepas. Ini kerana beliau membuat keputusan untuk memberi sepenuh tumpuan terhadap Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dan Kejuaraan Seluruh Jepun.

Pelumba berusia 24 tahun itu akan bergandingan bersama pelumba muda meningkat naik, Azroy Hakeem Anuar dan juara WIRA 2015, Harith Farhan Baharin.

“Saya sudah bersedia dan tidak sabar untuk kembali ke litar Cub Prix. Banyak yang saya rindui di sini,” jelas Zaqhwan.

Tambahnya, “Sepatutnya penghujung tahun lepas lagi saya sudah beraksi tetapi tangan saya mengalami kecederaan setelah terjatuh di Jepun dan juga pusingan terakhir ARRC di Thailand. Tangan saya sudah hampir pulih sepenuhnya, jadi saya berharap dapat memberi aksi terbaik di Jasin nanti.

“Cuma mungkin saya perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera RS150R ini dan juga keadaan litar Cub Prix yang cukup teknikal. Hasil ketika sesi ujian dan latihan sebelum ini juga agak positif. Kita tunggu sahaja perlumbaan sebenar nanti.

Zaqhwan dan Azroy merupakan dua pelumba yang berjaya menghadiahkan podium buat kem Honda sejak saingan CP150 diperkenalkan pada musim 2017.

Zaqhwan muncul pemenang tempat ketiga sewaktu pusingan pembukaan musim 2017 di Temerloh manakala Azroy menaiki podium di tempat ketiga pada pusingan kesembilan di Jempol, Negeri Sembilan musim lepas.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here