Perodua daftar calon pertama untuk Sistem Pengurusan Pemeriksaan Kenderaan Malaysia

1837

Perodua telah mendaftarkan calon-calon pertama dalam kursus Sistem Pengurusan Pemeriksaan Kenderaan (VIMS) rasmi pertama di Malaysia yang ditawarkan di pusat latihan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) di sini.

Kursus ini merangkumi analisis yang lebih jitu dan sistematik mengenai kenderaan terpakai atau tukar beli (trade-in). Ia diadakan oleh AucNation Sdn Bhd, sebuah syarikat usahasama dengan Automobile Inspection System Inc., Japan (AIS).



Menurut laman web AIS, syarikat pemeriksaan kenderaan itu ditubuhkan pada tahun 1996 dan memeriksa kereta serta motosikal di seluruh Jepun.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin berkata, “Kami menyokong penuh inisiatif MARii ini, di mana keseluruhan industri automotif Malaysia akan mendapat manfaat daripada kaedah penilaian kenderaan yang seragam.

“Bagi Perodua, dengan adanya penilai (valuators) sah yang diiktiraf kerajaan, perniagaan Kenderaan Pra-Milik (POV) kami dapat diperkukuhkan kerana piawaian antarabangsa mampu memberi keyakinan kepada pelanggan kami,” tambahnya.

Beliau berkata Perodua telah mendaftarkan 40 daripada penilainya dalam program itu. Setelah mendapat pensijilan, mereka akan dipindahkan ke pusat-pusat jualan Perodua untuk membantu pelanggan dalam urusan tukar-beli kenderaan.

“Bilik pameran Perodua KL di Jalan Pahang menawarkan kenderaan Perodua pra-milik dengan waranti terhad, bagi mereka yang inginkan ketenangan minda dalam pembelian kenderaan Perodua terpakai,” kata Dato’ Dr Zahari.

Kaedah pemeriksaan dan penilaian

Sistem Pengurusan Pemeriksaan Kenderaan melibatkan dua analisis, analisis visual (VA) dan analisis diagnostik (DA). VA meliputi luaran kenderaan, manakala DA dijalankan menggunakan peranti On-Board Diagnostic 2 (OBD2) untuk memeriksa kenderaan secara elektronik.

“Kursus yang ditawarkan oleh AucNation ini terbuka kepada semua OEM dan individu menuju ke arah pasaran kenderaan terpakai yang lebih cekap dan seragam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MARii Dato ‘Madani Sahari.

“Ini seterusnya akan membentuk dengan lebih lanjut inisiatif kenderaan jangka hayat untuk kebaikan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Pada masa ini, kenderaan-kenderaan pra-milik Perodua dijual di bilik pameran Perodua POV di Kuala Lumpur iaitu di Jalan Pahang (juga menjual kereta baharu).

Kenderaan POV adalah kenderaan yang berusia sehingga tujuh tahun yang telah diperiksa dan diperbaharui. Ia melalui pemeriksaan 165 perkara dan dijamin dengan jaminan 18-bulan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here