Dalam acara sama dengan pratonton GLC 300, Mercedes-Benz Malaysia turut mempersembahkan SUV saiz sederhana mereka, GLE 450. Untuk 2019, GLE 450 ini ditawarkan dengan varian AMG Line. Mercedes GLE kini boleh didapati dalam versi lima- dan tujuh-tempat duduk.
Ciri menyerlah pada GLE 450 AMG Line ini adalah gaya luaran AMG yang dinamik, bumbung suria panoramik, kemasan dalaman brushed aluminium dan sistem suspensi aktif E-ACTIVE BODY CONTROL.
Ia juga didatangkan dengan Acoustic Comfort Package yang membolehkan GLE 450 mengurangkan tahap bunyi walau dipandu di kelajuan tinggi. Cermin depan dan tingkap tepi juga dilapik dengan filem khas untuk menambah kesenyapan kabin.
Mercedes GLE 450 AMG Line menampilkan penggayaan sporti dengan kit badan AMG, radiator gril AMG, rim aloi AMG 22-inci dan lampu depan LED Multibeam. Ia juga mendapat bumbung suria panoramik.
Memacu SUV ini ialah unit 3.0-liter turbo enam-silinder sebaris yang menghasilkan 367hp dan 500Nm tork pada 1,600-4,500 rpm. Dipadankan dengan transmisi automatik 9G-TRONIC 9-kelajuan, GLE 450 ammpu memecut ke 100km/j dalam masa 5.7 saat sahaja.
Dalam mengejar kepesatan pembangunan teknologi, Mercedes memberikan GLE 450 ini MBUX (Mercedes-Benz User Experience). Unit ini adalah versi yang ditambahbaik dari A-Class. MBUX boleh diakses dari dua skrin besar 12.3-inci yang disusun bersebelahan.
MBUX ini juga menampilkan fungsi arahan suara LINGUATRONIC untuk kawalan unit media dan operasi kenderaan.
GLE 450 AMG Line akan dijual dengan harga cadangan RM633,888 (lima tempat duduk)/RM638,888 (tujuh tempat duduk). Mercedes-Benz Malaysia menyediakan pembiayaan fleksibel seperti ansuran bulanan berpatutan, pilihan perjanjian fleksibel dan nilai harga terjamin untuk masa depan.
Layari laman web Mercedes-Benz Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai skim pembiayaan Agility ini.