DC Advanti ialah supercar berenjin tengah yang direkabentuk dan dibina di India. Ia adalah hasil kerja Dilip Chhabria dan DC telah membina banyak kereta konsep dan prototaip. Ya, India mempunyai supercar mereka sendiri yang direkabentuk dan dibangunkan secara tempatan.
Menurut Topgear, bahagian belakang DC Advanti kelihatan seperti ianya telah diparkir di sebelah radiator; seperti cair kepanasan. Depannya pula seperti ikan.
DC Advanti yang dipandu uji ini dicat dengan warna badan hitam dan oren seperti Veyron Super Sport. Dan memang ada pejalan kaki yang menunjuk dan menjerit “BUGATTI!”.
Guna Plastik Murah
Bahagian dalamnya kebanyakannya adalah plastik murah dan kualiti kurang meyakinkan. Tombol gear manual enam-kelajuan yang diambil dari Renault itu terasa terlalu panjang. Tetapi rasa tukaran gear cukup baik.
Ruang kepala juga agak sempit dan kurang sesuai untuk pemandu berketinggian melebihi 6 kaki. Ini menjadi isu terbesar kepada Topgear.
Tetapi terdapat perkara seperti supercar sebenar pada Advanti ini, iaitu ketiadaan cermin pandang belakang kerana apa yang dapat dilihat di belakang kabin hanyalah ruang enjin.
Menurut Topgear lagi, DC Advanti ini sangat sesuai untuk India kerana mempunyai ground clearance agak tinggi. Jika mereka memandu Lamborghini Huracan, pasti telah “sagat” permukaan jalan dengan hanya memandu sejauh 100 meter.
Ketinggian DC Advanti ini diibaratkan jika rim 20-inci dan tayar Pirelli P-Zero itu ditukar dengan Goodyear Wrangler, dah boleh bawa masuk ralli Dakar.
Untuk enjin, tiada W16 quad-turbo seperti Bugatti Veyron. Sebaliknya, DC Advanti dipacu enjin 2.0-liter turbo dari RenaultSport. Enjin dengan pilihan kuasa 250hp dan 310hp inilah yang memacu Megane RS lama.
Advanti mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 6 saat dengan kelajuan maksima kira-kira 200km/j. Tidaklah begitu mengujakan untuk status supercar, namun enjinnya lancar dan cukup tork.
Di India, DC Advanti dijual pada harga permulaan RM186,397 tanpa kelengkapan pilihan lain. Sebanyak 350 unit telah terjual setakat ini dan DC pada masa ini sedang menilai untuk mengeksport Advanti ini ke pasaran luar.