BMW Malaysia memperkenalkan BMW i3s, sebuah Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) di Malaysia Autoshow 2019, kenderaan elektrik tulen pertama di Malaysia dalam segmen premium.
Pengenalan ini sejajar dengan komitmen syarikat itu untuk Mobiliti Masa Hadapan di Malaysia. Ia juga menyumbang kepada Polisi Automotif Nasional 2014 yang mensasarkan Malaysia sebagai hab serantau bagi kenderaan efisien tenaga (EEV) menjelang tahun 2022.
Luaran
BMW i3s menggunakan penggayaan avant-garde sebagai sebuah kenderaan bandaraya yang futuristik. Rekabentuk ini telah memenangi anugerah emas iF bagi reka bentuk, anugerah World Car Design of the Year dan World Green Car of the Year.
Bampar depan i3s berbentuk-U hitam berkilat dengan gril ‘kidney’ berpenutup. Lampu depan LED penuh ditawarkan sebagai standard berserta lampu indikator yang diintegrasikan secara melintang.
Di bahagian tepi, tiang-A hitam berkilat serta garisan bumbung memberikan gaya unik dan kemas. Rim i3s ini adalah aloi bersaiz 20-inci ringan BMW i. Ia juga dilengkapi dengan sistem suspensi sport sbagai standard yang merendahkan kenderaan ini sebanyak 10mm.
Di belakang pula, BMW i3s diberikan spoiler belakang lebar berwarna hitam dan lampu belakang LED berbentuk U.
Penawaran warna bagi BMW i3s yang pertama meliputi warna bukan metalik yang menarik, hitam (Fluid Black) dan putih (Capparis White); serta warna metalik yang anggun, kelabu (Mineral Grey), semua warna digandingkan dengan sorotan warna biru eksklusif, ‘BMW i Blue’.
Dalaman
Berasaskan seni bina kenderaan LifeDrive, rekabentuk kokpit dan dalaman BMW i3s ini mengutamakan pelbagai keperluan pemandu.
Ia juga cukup ‘hijau’ dengan penggunaan lebih 80 peratus bahan dari sumber kitar semula untuk ruang dalaman. Ini merupakan faktor penting dalam mengurangkan jejak karbon untuk mobiliti elektrik.
Antara bahan lestari ini adalah plastik kitar semula, gentian semula jadi dan kayu eucalyptus yang berliang terbuka.
Casis dan ruang penumpang dibina daripada polimer bertetulang gentian karbon (CFRP) yang bukan sahaja memberikan keluasan, malah mengekalkan tahap keringanan.
i3s ini dilengkapi dengan BMW i Interior Design Suite, yang merangkumi panel instrumen termaju dan balutan kulit elegan Dark Truffle Leather Vernasca.
Sistem operasi iDrive yang dikemas kini membolehkan pemandu mengawal pelbagai fungsi kenderaan, infotainmen, komunikasi dan navigasi. Jentera elektrik ini juga hadir dengan BMW Navigation System Professional dengan paparan skrin 10.25-inci dan paparan instrumen TFT 5.7-inci.
Sistem pacuan dan transmisi
Ciri ‘hijau’ lebih ketara di aspek sistem pacuan dan transmisi i3s ini. Ia menampilkan motor elektrik bersinkronisasi dengan Transmisi Automatik Satu Kelajuan.
Bateri ion litium bervoltan tinggi yang terletak di paras rendah dalam seksyen lantai kenderaan ini memberikan BMW i3s julat jarak yang berjumlah 260 km. Penggunaan kuasa elektrik gabungan bagi BMW i3s terbaharu melalui kitaran NEDC dibaca pada tahap 14.3 kWj untuk setiap 100 km.
Keseluruhan sistem ini menjana output sebanyak 184hp dengan tork 270Nm. Ini mmberikan i3s pecutan 0 ke 100km/j dalam hanya 6.9 saat sahaja. Kelajuan maksima adalah pada 160km/j.
Terdapat mod pemanduan Sport yang dikawal dari suis Driving Experience Control. Mod ini akan memberikan karakter pemanduan lebih mantap dengan motor elektriknya mengoptimumkan penghantaran kuasa dengan lebih agresif.
Keselamatan
Ciri keselamatan termasuklah Dynamic Stability Control, Dynamic Traction Control, Cornering Brake Control, Dynamic Brake Control, ABS dan Brake Assist.
Ciri lain yang melengkapi BMW i3s ialah ‘Driving Assistant Plus’, sistem bantuan pemandu yang membantu pemandu menghadapi pelbagai situasi trafik. Antara kemudahan yang ditawarkan ialah kamera pandang belakang, Park Distance Control, Active Cruise Control dengan fungsi ‘Stop & Go’, Collision and Pedestrian Warning dengan City Braking function serta Traffic Jam Assistant.
Pembiayaan dinamik
BMW i3s ditawarkan pada harga anggaran RM279,000 dan hadir dengan Balloon Financing Plan dimana pelanggan boleh memilih pelan ansuran bulanan bermula RM3,188 (berdasarkan pinjaman 80 peratus untuk tempoh lima tahun).