Didikan ibubapa penting dalam membentuk peribadi anak-anak. Nanti dulu, anda tak tersilap laman web, ini masih Motoqar.my. Kami ingin paparkan kisah seorang remaja yang dibelikan motosikal Y15ZR baharu oleh ibunya, namun menerima surat perjanjian menarik.
Alkisahnya, si ibu menjemput remaja ini, Daniel Ashraff, untuk pergi mengambil motosikal Yamaha Y15ZR yang dijanjikan. Namun sebaik membuka pintu kereta, dia menerima satu surat perjanjian unik yang harus ditandatanganinya sebelum menerima kunci motosikal.
Antara kandungan menarik dalam surat itu adalah:
- Tidak dibenarkan melanggar undang-undang jalanraya
- Tidak dibenarkan merempit atau berlumba haram
- Tidak dibenarkan pulang ke rumah selepas 12 malam
- Tidak dibenarkan mengubahsuai motosikal
- Tidak dibenarkan cuai sehingga motosikal dicuri
- Tidak dibenarkan memberi orang lain tanpa lesen menunggang
- Tidak dibenarkan buat aksi merbahaya seperti “wheelie”
Paling menarik juga, bahagian terakhir dalam syarat perjanjian dimana Daniel perlu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan kerana jika tidak, motosikal harus dipulangkan.
Bagi kami, langkah si ibu ini menunjukkan cara memberi motivasi kepada anak tetapi dengan cara bertanggungjawab. Syarat seperti ini juga boleh menjadikan si anak menjaga dan menghargai barang pemberian sebaiknya.
Kisah asal ini disiarkan oleh lame Facebook The Bikers Rangers dan telah mendapat lebih 1,400 perkongsian pada masa artikel ini ditulis. Ia adalah gambar screenshot dari profail asal Daniel di Twitter.
Kami harap Daniel menjadi penunggang berhemah dan berjaya dalam pelajarannya. Syabas juga kepada ibunya!