Tesla Cybertruck mungkin menjadi perhatian dalam industri trak pikap buat masa ini, tetapi jangan lupakan Rivian.
Syarikat berpangkalan di Michigan ini akan memperkenalkan dua EV (kenderaan elektrik) hujung tahun ini, pikap R1T dan SUV R1S. Kedua-dua kenderaan ini mempunyai spesifikasi serius, berserta satu fungsi menarik iaitu “tank turn”, atau pusingan kereta kebal.
Jika anda pernah melihat kereta kebal membuat pusingan 180-darjah, anda akan faham. R1T dan R1S mempunyai motor elektrik individu untuk setiap empat roda yang boleh berputar secara berasingan. Ini bermakna ia boleh berputar berlawanan arah serentak.
Bagaimana ia membuat pusingan kereta kebal? Mudah. Dua motor di roda kiri depan dan belakang berputar satu arah, manakala dua lagi motor di roda kanan depan dan belakang berputar berlawanan arah. Ini membolehkannya berpusing setempat.
Fungsi tank turn ini lebih daripada satu party trick yang seronok dilihat. Dari sudut praktikal, sebagai contoh di tapak kerja yang padat atau laluan off-road sempit, ia berguna untuk keluar dengan mudah.
Dan fungsi ini paling baik digunakan di permukaan kurang cengkaman seperti pasir atau lumpur. Jika berpusing sebegini di atas jalan tar, cepat haus pula tayarnya, bukan?
Rivian berkata fungsi ini akan “didapati” pada R1T dan R1S, walaupun masih belum jelas ia akan diberi secara standard atau pilihan tambahan.