Perodua secara rasminya hari ini melancarkan Bezza facelift 2020. Kemunculan dan spesfikasinya telah kami laporkan sebelum ini.
Menurut Perodua, segala penambahbaikan adalah berdasarkan maklum balas pelanggan. Harga dan varian Perodua Bezza 2020 adalah seperti berikut:
1.0 G MT: RM34,580
1.0 G AT: RM36,580
1.3 X AT: RM43,980
1.3 AV AT: RM49,980
Harga adalah atas jalan tanpa insurans dan berlaku sedikit peningkatan dari Bezza sebelum ini, tetapi ia turut menerima peningkatan dari segi kelengkapan.
Bezza boleh didapati dengan 6 warna, iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue, Sugar Brown, dan 2 warna baharu, Granite Grey dan Garnet Red (AV sahaja).
Untuk penampilan, Bezza kini mendapat bampar depan agresif dengan rekaan kemasukan udara bersegi dan tajam, serta terdapat lampu kabus di dalamnya. Lampu depan baharu adalah LED, dan gril baharu di tengahnya.
Di belakang, kemasan krom di tengah lampu kini dwi-tona, iaitu krom dan hitam berkilat. Skirt tepi juga menampilkan rekaan dwi-tona, dan versi 1.3 mendapat rim aloi 15-inci baharu.
Ruang dalaman Bezza secara umumnya tidak berubah, hanya beberapa perubahan kecil dilakukan. Pada varian AV sebelum ini hanya kemasan hitam di papan pemuka, kini terdapat kemasan perak.
Ciri baharu di sini termasuklah meter kombinasi dengan iluminasi putih, keyless entry, pengesan parkir (varian X dan AV) serta kamera undur (varian AV sahaja).
Perkara utama di bahagian keselamatan ialah kehadiran Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 buat pertama kali pada Bezza. Ia sebelum ini ditawarkan pada Myvi, Aruz dan Axia.
ASA 2.0 merangkumi Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50km/j), Amaran Pra-Perlanggaran (sehingga 100km/j), Brek Pra-Perlanggaran (sehingga 80km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.
Ciri keselamatan lain adalah Vehicle Stability Control (VSC) dan Traction Control yang kini terdapat juga pada varian X (sebelum ini hanya pada AV).
Bergantung kepada varian, Perodua Bezza 2020 akan menggunakan enjin sama seperti sebelum ini, iaitu 1.0-liter dengan 67hp dan 91Nm tork serta 1.3-liter dengan 94hp dan 121Nm tork. Transmisi pula ialah automatik 4-kelajuan.
Perodua mendakwa penggunaan bahan api cekap sehingga 22km/liter dengan Eco Idle dan auto start/stop.
Untuk tempahan dan melihat dengan lebih dekat, anda boleh lawati mana-mana wakil jualan Perodua seluruh negara.