Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini bercadang memperkenalkan istilah ‘pelanggaran jalan raya’ berbanding ‘kemalangan’ dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan pengguna semasa di jalan raya.
Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya pada akhir tahun lepas bagi memberi pengertian sebenar kesan pelanggaran yang menjadi punca utama kemalangan jalan raya.
“Kemalangan berlaku disebabkan faktor-faktor yang tidak disengajakan seperti keadaan jalan raya rosak, kenderaan gagal berfungsi dengan baik meskipun telah diservis manakala pelanggaran disebabkan ‘kesilapan manusia’ atau kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri yang adakala bersikap mementingkan diri ketika di jalan raya.
“Justeru, penggunaan istilah pelanggaran di jalan raya dilihat mampu mengubah minda orang ramai supaya sentiasa peka dan berhati-hati ketika memandu. Istilah ini diperkenalkan supaya masyarakat lebih memahami bahawa tanggungjawab tertinggi ketika berada di jalan raya. Ianya adalah penunggang motosikal atau pemandu kenderaan itu sendiri,” katanya.
Kamarudin bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai tarikh pelaksanaan cadangan penggunaan istilah itu. Sehingga kini, pihak media juga tidak menerima sebarang arahan berkaitan perkara berkenaan.
Tambah Kamarudin, dalam Bahasa Inggeris juga kerap menggunakan istilah kemalangan sebagai ‘crash’ berbanding ‘accident’. Justeru itu, cadangan ini juga adalah sebagai peringatan kepada penggunanya. Ianya khusus untuk pengguna jalan raya tidak mementingkan diri sendiri bagi mengurangkan risiko kejadian kemalangan.