Nissan 370Z, yang pernah digunakan oleh mendiang Paul Walker, mungkin menjadi jentera yang paling mahal pernah dijual. Kereta yang muncul dalam siri filem Fast and Furious siri kelima ini telah dilelong dan dikatakan merupakan 370Z yang paling mahal pernah dilelong.
Nissan 370Z keluaran tahun 2009 ini dijual pada harga US$105,600 atau bersamaan dengan RM428,218 pada acara lelongan yang dikenali sebagai Barrett-Jackson Scottsdale 2020.
Pada penampilan dalam filem, kereta ini menggunakan kit tubuh yang berbeza, rim bewarna hitam dan bonet yang disertakan dengan karbon.
Dalam filem Fast Five, Nissan 370Z juga diubahsuai untuk kelihatan seperti ia mempunyai kit turbo. Intercooler palsu diletakkan di bahagian belakang bampar dan terdapat botol NOS yang diletakkan di bahagian belakang kerusi hadapan.
Untuk prestasi, jentera ini dikuasakan oleh enjin V6 3.7 liter yang mampu menghasilkan sehingga 332hp. Enjin ini dikendalikan dengan transmisi manual enam kelajuan.
Untuk ruangan dalam, penampilan jentera seperti di dalam filem dikekalkan seperti stereng yang boleh ditanggalkan. Walau bagaimanapun, kereta yang dilelong disertakan dengan kerusi perlumbaan yang berlainan untuk pemandu.
Sebelum ini, pada tahun 2015, Toyota Supra MK4 bewarna oren yang dipandu oleh Paul Walker dalam filem Fast and Furious juga telah dilelong. Jentera itu dibida dengan harga US$ 185,000 atau bersamaan dengan RM750,193.