Perodua mengesahkan akan menggunakan enjin 1.0-liter turbo untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu jenama itu yang dijangka dikeluarkan pada tahun ini.
Perkara tentang penggunaan enjin 1.0 liter turbo itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad selepas majlis pembentangan prestasi Perodua sepanjang 2019 sebentar tadi.
Ini juga bertepatan dengan apa yang kami jangkakan dalam artikel kenderaan yang bakal tiba pada 2020 beberapa minggu lepas.
Difahamkan model itu adalah model Kembara, yang kini dikenali sebagai Perodua D55L.
SUV baharu Perodua itu dikatakan akan dibangunkan berasaskan platform Arkitektur Global Baharu Daihatsu (Daihatsu New Global Architecture, DNGA) sama seperti model Daihatsu Rocky.
Daihatsu Rocky dikuasakan oleh enjin 3-silinder 1KR-VET 1.0-liter turbo. Enjin ini mampu menyalurkan 96hp pada 6,000rpm dan 140Nm tork antara 2,400 sehingga 4,000rpm. Ia juga dipadankan transmisi D-CVT.
Tahap penggunaan bahan apinya juga mencatatkan 18.6km/liter bagi pacuan hadapan. Manakala pacuan semua-roda (AWD) boleh mencecah 17.4 liter setiap liter bahan api.
Sementara itu, Perodua juga akan menjadi hub Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) pada peringkat Asean dengan menggunakan platfrom berdasarkan model Daihatsu New Global Architecture.
Datuk Zainal berkata, kemudahan R&D di Malaysia adalah lebih besar dan menyasarkan untuk mencapai sebagai hub pada peringkat Asean.